KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil beberapa langkah bagi menangani ekonomi bayangan sebagai usaha meningkatkan pendapatan negara, antaranya melalui pelaksanaan sistem e-Invois yang bermula pada 2024.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pelaksanaan e-Invois bertujuan mengukuhkan pentadbiran yang lebih progresif serta mempercepat pendigitalan sistem percukaian, sekali gus membantu mengekang aktiviti ekonomi bayangan.
“Setakat ini impak penuh pelaksanaan sistem berkenaan masih belum dapat dikenal pasti memandangkan e-Invois belum dilaksanakan sepenuhnya dan memerlukan tempoh tertentu sebelum keberkesanannya dapat dinilai.
“Buat masa ini, kerajaan belum dapat mengenal pasti impaknya kerana e-Invois ini masih belum dilancarkan sepenuhnya dan ia memerlukan masa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai langkah kerajaan dalam menangani ekonomi bayangan bagi memastikan pendapatan negara dapat dipertingkatkan.
Lim berkata, pemantauan berterusan akan terus dilakukan bagi menilai keberkesanan inisiatif itu dalam memperluas asas cukai serta meningkatkan hasil negara pada masa hadapan.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Senator Datuk Salehuddin Saidin berhubung cadangan menangani kos sara hidup mengikut lokaliti, Lim berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada penggunaan data sedia ada serta perkongsian maklumat antara agensi bagi meningkatkan keberkesanan dasar berkaitan kos sara hidup.
Beliau menegaskan, sebarang penambahbaikan terhadap rangka kerja pengukuran kos sara hidup akan terus dinilai dari semasa ke semasa.
“Kerajaan mengambil maklum cadangan yang dikemukakan, namun program penyasaran subsidi yang dilaksanakan mengambil kira keseluruhan pendapatan dan tidak tertakluk kepada lokaliti semata-mata bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














