PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kesal selepas tidak mendapat tawaran pekerjaan mengikut bidang akademik selain gaji minimum.
Menurut hantaran pengguna Threads @Nonamaneee_, yang mempunyai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang serta Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, dia masih tidak mendapat tawaran pekerjaan yang diinginkan.
“Susah nak dapat kerja bidang saya yang sekurang-kurang menawarkan gaji sebanyak RM2,000. Bukan tak cuba, dah beratus syarikat saya cuba buat permohonan.
“Tak pernah terfikir nak meminta gaji sampai RM3,000 untuk permulaan, tapi kalau semua syarikat tawarkan gaji minimum, RM1,700, memang kecewalah saya,” katanya.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi netizen termasuk yang memberi kata-kata semangat untuk menerima apa sahaja tawaran pekerjaan.
“Nasihat saya untuk tidak gelojoh, sama ada awak terima sahaja tawaran pekerjaan yang ada ataupun awak tunggu peluang lain,” komen Omaradalahroehii.
“Jangan rasa penat belajar untuk dapatkan Ijazah Sarjana Muda tapi gaji permulaan hanya RM2,000 manakala gaji permulaan untuk pelajar SPM pula ialah RM1,700. Ingat yang awak ada ijazah, sedangkan mereka hanya SPM,” komen @Fikribistami.
“Ambil sahaja tawaran kerja walaupun gaji RM1,700. Buktikan pada majikan, awak mampu dan boleh buat kerja dengan baik supaya boleh naik pangkat serta gaji,” komen @Farahmrsfadzil. –KOSMO! ONLINE














