PETALING JAYA – Pempengaruh dan usahawan, Faiz Soul meluahkan rasa kecewa apabila dihina hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan jemputan perasmian majlis akademik sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah, pada Isnin lalu.
Faiz turut diherdik seorang pempengaruh dan ahli perniagaan, Datuk Syed Azuan di aplikasi TikTok selepas menghina kecemerlangan akademiknya yang dianggap tidak cukup syarat kerana tiada ijazah Sarjana Muda.
Menerusi hantaran di Threads @Faizsoul_, mengakui tidak mempunyai ijazah Sarjana Muda tetap mampu memberi sumbangan kepada sekolah.
“Hina sangat ke ada SPM sahaja? Yang ada ‘degree’ berapa banyak sumbangan dah? Mungkin saya tiada ‘degree’. Sekurang-kurangnya saya mampu gajikan pekerja yang ada ‘degree’ dan lebih,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kehadiran Faiz dibiayai sepenuhnya menggunakan wang hasil perniagaan tanpa sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik mahupun peruntukan kerajaan.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi netizen yang rata-rata turut memberi pendapat dalam isu jemputan perasmian majlis akademik itu.
“Semoga Faiz dapat buat pengajian jarak jauh suatu hari nanti. Banyak pengalaman yang boleh dikongsikan dengan melanjutkan pengajian,” komen @Ekasyafeeqa.
“Awak dihina bukan kerana sekadar ada SPM. Awak disalahkan kerana langgar pekeliling Kementerian Pendidikan kerana merasmikan majlis akademik,” komen @Mhaslialias. –KOSMO! ONLINE














