LANGKAWI – Polis mengenal pasti identiti sembilan daripada 30 mangsa bot karam warga Myanmar daripada etnik Rohingya yang ditemui terapung dan disahkan meninggal dunia di perairan ini, bulan lalu.
Kesemua mangsa terbabit terdiri daripada empat lelaki dan lima perempuan berusia antara 14 hingga 22 tahun.
Mangsa lelaki dikenal pasti sebagai Yasin Arafat, 14, Mohammed Anas, 15, Mohammed Junayed, 17, dan Tarek Zia, 22.
Sementara itu, mangsa perempuan ialah Asma Bibi, 14, Asma, 15, Haresa Bibi, 17, Shahida Begum, 17, dan Joynab Bibi, 19.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, pihaknya menerima pemakluman mengenai kejadian bot karam membabitkan kira-kira 100 mangsa dipercayai dari Myanmar pada 8 November lalu.
Katanya, terdapat 14 mangsa terselamat manakala 30 mayat mangsa ditemui sepanjang operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di perairan ini selama 10 hari.
“Daripada 30 mayat mangsa yang ditemui, terdapat beberapa identiti mangsa yang berjaya dikenal pasti, namun masih belum dapat disahkan,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, polis menyeru orang awam yang mengenali atau waris kepada mayat mangsa supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan berjumpa Pegawai Penyiasat kes bagi tujuan pengesahan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) serta proses tuntutan mayat.
Kosmo! bulan lalu melaporkan sebuah bot membawa kira-kira 70 migran etnik Rohingya yang dipercayai menuju ke negara ini karam berhampiran Pulau Tarutao, Thailand, sebelum 44 mangsa, termasuk 30 yang maut ditemukan terapung di perairan Langkawi.
Kesemua migran tersebut dikatakan sebahagian daripada kira-kira 300 migran yang menaiki sebuah kapal induk yang berlepas dari Buthidaung, Myanmar sebelum dipindahkan ke bot lebih kecil ketika menghampiri sempadan Thailand-Malaysia.
Bot yang dinaiki 70 migran itu dipercayai karam selepas berlayar kira-kira satu setengah jam, ketika cuaca mendung dan laut bergelora walaupun tiada hujan.
Kumpulan migran itu mendakwa membayar kira-kira 400,000 Taka atau sekitar RM13,500 kepada sindiket untuk masuk ke Malaysia. – KOSMO! ONLINE














