ISU kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada etnik Rohingya ke negara ini bukan perkara baharu kerana telah berlarutan sejak sekian lama, dengan peningkatan ketara pada 2016 akibat konflik di wilayah Rakhine.
Statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menunjukkan peningkatan ketara pelarian Rohingya berdaftar di Malaysia meningkat daripada 15,001 pada 2009 kepada 54,856 orang pada Oktober 2016.
Mereka sanggup menempuh risiko meredah lautan dengan membayar wang hingga puluhan ribu ringgit seorang kepada sindiket yang ‘rakus’ menggadai nyawa pelarian dengan memuatkan mereka sepadat-padatnya ke dalam bot demi keuntungan berlipat kali ganda.
Episod tragedi bot karam pada awal November lalu yang membawa kira-kira 70 etnik Rohingya yang dipercayai dalam perjalanan meloloskan diri ke negara ini dekat perairan Langkawi mengorbankan puluhan jiwa bukan perkara baharu.
Pada 2023, sekurang-kurangnya 17 orang mati lemas apabila sebuah bot yang membawa lebih 50 pelarian Rohingya dari Myanmar menuju Malaysia karam musnah di tengah laut.
Biarpun mengetahui risiko berdepan kematian, mereka seolah-olah tidak menghiraukannya kerana mungkin terpesona dengan cerita-cerita mengenai kehidupan lebih mewah menanti di Malaysia yang ditabur ahli sindiket dan rakan-rakan yang berada di negara ini.
Bagi mengupas lebih lanjut mengenai isu membimbangkan ini, wartawan Kosmo! Ahad, Jamliah Abdullah menemu bual Pengerusi Persatuan Rohingya Kedah, Yusof Ali baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Apa sebenarnya yang mendorong ramai etnik Rohingya datang ke Malaysia?
YUSOF: Di Myanmar, hidup orang Rohingya memang tidak pernah stabil. Tekanan daripada tentera Arakan (AA) semakin menjadi-jadi sehingga memaksa mereka berpindah-randah dari satu perkampungan ke perkampungan lain.
Setiap kali menetap, mereka dikenakan bayaran perlindungan yang boleh mencecah RM20,000 sebulan, jumlah yang langsung tidak masuk akal bagi golongan yang hidup serba kekurangan.
Jika bayaran tidak dibuat, akibatnya sangat keras kerana ada yang dihalau keluar serta-merta, ada yang diculik dan ada yang hilang tanpa dapat dikesan sehingga hari ini. Ramai terpaksa menyelamatkan diri ke hutan dan bukit serta hidup dalam ketakutan yang berpanjangan.
Semua tekanan inilah yang akhirnya memaksa mereka melarikan diri, walaupun tahu perjalanan itu mungkin membawa maut.
Mengapa Malaysia menjadi pilihan utama, bukan negara seperti Indonesia atau Thailand?
Malaysia menjadi pilihan kerana beberapa sebab utama. Yang paling jelas, komuniti Rohingya di sini sudah lama bertapak. Apabila ada keluarga dan saudara-mara, sekurang-kurangnya mereka rasa ada tempat untuk berpaut, walaupun hidup di sini tidak semudah yang disangka.
Selain itu, media sosial memainkan peranan besar sejak kebelakangan ini. Banyak video memaparkan kehidupan yang menyeronokkan dan bebas di Malaysia sehingga boleh menari-nari seperti filem Hindustan bersama perempuan cantik di tempat menarik seperti di KLCC, kerja senang dan kehidupan seperti bebas.
Namun tanpa mereka sedar video itu dibuat oleh tali barut sindiket atau ejen mereka yang ramai di Malaysia.
Mereka pandai memanipulasi emosi. Apabila orang Rohingya di Myanmar tengok video itu, mereka percaya Malaysia adalah tempat yang selamat dan murah rezeki.
Tengoklah di TikTok banyak akaun daripada mereka seperti ini. Padahal realitinya jauh berbeza.
Selain Malaysia, negara mana yang sering menjadi pilihan pelarian Rohingya?
Thailand dan Indonesia turut menjadi destinasi, tetapi ramai mengelak kerana keadaan hidup di sana jauh lebih mencabar.
Keluarga sukar menyokong, peluang pekerjaan hampir tiada dan pemeriksaan dokumen lebih ketat. Berbanding Malaysia, di sini masyarakatnya lebih mesra, ramai yang suka membantu dan tidak memandang serong kepada kami.
Adakah kisah Rohingya yang lama menetap di Malaysia menjadi tarikan untuk mereka datang?
Sebenarnya tidak. Pelarian yang sudah lama tinggal di Malaysia selalu menasihatkan keluarga di Myanmar atau Bangladesh supaya jangan datang lagi.
Mereka beritahu keadaan di Malaysia sekarang makin sukar, pekerjaan semakin terhad dan ramai hidup tanpa dokumen sah.
Namun nasihat ini jarang didengar. Ejen sindiket lebih pandai mempengaruhi, mereka ‘jual’ harapan palsu.
Bagi ejen, pelarian Rohingya adalah ‘lombong emas’, lebih ramai datang, lebih banyak wang mereka dapat. Kami sudah jadi semacam komoditi perdagangan mereka yang tidak berhati perut.
Bila sudah sampai ke Malaysia, adakah kehidupan seperti yang dibayangkan?
Langsung tidak. Generasi lama yang datang sekitar 1980-an dan 1990-an memang hidup agak mudah. Ketika itu jumlah orang Rohingya sangat kecil, jadi peluang kerja lebih banyak.
Tetapi sekarang, satu kerja yang dahulu dilakukan seorang, kini perlu dikongsi antara 10 hingga 20 orang. Upah makin berkurang, persaingan tinggi dan majikan pun semakin berhati-hati kerana isu dokumentasi.
Itu belum termasuk risiko ditahan di depot kerana masuk secara haram. Realitinya, apa yang mereka impikan di Myanmar tidak sama sekali wujud di sini.
Adakah sindiket di Myanmar atau Bangladesh turut mempromosikan perjalanan ke Malaysia?
Ya, sindiket pemerdagangan manusia bergerak secara terancang. Mereka menguruskan perjalanan dari Myanmar ke Bangladesh sebelum dihantar ke Thailand dan akhirnya ke Malaysia.
Mereka tidak beroperasi sendirian. Ejen-ejen mereka berada di setiap negara transit. Ada yang orang luar, ada orang Rohingya sendiri dijanjikan komisen lumayan. Semakin ramai mangsa dibawa masuk, semakin banyak upah diterima.
Kebanyakannya gabungan kedua-duanya. Ada ketua sindiket warga Myanmar, tetapi ejen lapangan di Bangladesh, Thailand, Malaysia dan Indonesia biasanya terdiri daripada orang Rohingya sendiri.
Mereka lebih mudah mempengaruhi kerana menggunakan bahasa dan kepercayaan yang sama.
Di Thailand pula, mangsa yang dibawa akan ‘disimpan’ sementara. Di sinilah wang tebusan biasanya dituntut daripada keluarga di Malaysia. Selagi wang tidak dibayar, mangsa akan dikurung di lokasi rahsia, malah ada yang diseksa. Ini modus operandi yang sama digunakan dalam tragedi Wang Kelian dahulu.

Berapa kos untuk masuk ke Malaysia?
Kosnya sangat tinggi antara RM10,000 hingga RM15,000 seorang, tetapi ada yang kena bayar sehingga RM20,000 seorang.
Ada ejen yang sengaja kata mereka belum dapat wang itu, padahal sudah dikebas oleh ejen lain, lalu memaksa mangsa membayar berganda. Ada yang selepas bayar pun masih tidak dibawa ke Malaysia, seolah-olah wang itu ‘lenyap’ begitu sahaja.
Dalam sebulan, berapa kali pelayaran dilakukan?
Tiada jadual tetap. Sindiket hanya akan menghantar apabila jumlah mangsa cukup banyak kadangkala 200, kadangkala sampai 300 orang di dalam satu bot.
Lebih ramai mangsa, lebih untung buat sindiket.
Sebelum belayar mereka tidak diberitahu tentang risiko perjalanan oleh ejen dengan memberi jaminan semuanya selamat. Mereka kata bot kuat, perjalanan tidak lama dan semuanya akan dijaga.
Pelarian pula dalam keadaan terdesak. Bagi mereka, apa pun risikonya tetap lebih baik daripada terus hidup dalam ketakutan di Myanmar. Mereka tahu ramai yang mati dan hilang, tetapi tetap memilih untuk mencuba.
Adakah mereka tahu keadaan bot sangat sesak?
Kebanyakan hanya tahu pada hari berlepas. Apabila nampak bot kecil dan penuh seperti ikan sardin, mereka sudah tidak ada pilihan. Ejen akan pujuk bot itu selamat, lalu mereka percaya.
Mengapa tetap nekad walaupun risiko besar?
Gambaran Malaysia sebagai tempat mencari rezeki menjadi pendorong kuat mereka ke sini. Ada keluarga dapat hantar RM1,000 hingga RM2,000 setiap bulan. Cerita-cerita begini menjadi motivasi kuat buat mereka.
Mereka tidak tahu keadaan sekarang sudah berubah. Mereka yang tinggal di Malaysia 20 hingga 30 tahun pun bergelut untuk hidup.
Boleh kongsikan pengalaman anda sendiri ketika datang ke Malaysia?
Saya masuk 35 tahun lalu melalui jalan darat dari Thailand. Masa itu hidup lebih mudah kerana belum ramai orang Rohingya yang keluar.
Ketika itu boleh bekerja di sektor perladangan, pembinaan dan kedai-kedai kecil tanpa banyak masalah.
Sindiket hanya mula menggunakan laluan laut melalui Langkawi secara besar-besaran sekitar 2012 apabila laluan darat diperketatkan kawalan.
Berapa ramai Rohingya yang masih tinggal di Langkawi?
Saya tidak mempunyai angka tepat. Banyak andaian mengatakan Bukit Malut kawasan Rohingya.
Hakikatnya bukan orang Rohingya sahaja menyewa rumah di situ daripada penduduk tempatan. Ramai sebenarnya bekerja di tempat lain di seluruh Semenanjung.
Apakah harapan anda terhadap masa depan?
Saya harap ASEAN dapat membantu menyelesaikan krisis dan konflik di negara kami. Populasi Rohingya semakin berkurangan kerana ramai mati, hilang dan terpaksa lari ke negara
lain.
Kalau ada peluang, saya mahu balik sebelum mati. Kalau saya tidak sempat, saya harap anak cucu saya boleh pulang nanti. Kami bukan tiada apa-apa di Myanmar, tanah, rumah dan harta kami di sana dirampas. -KOSMO! ONLINE














