KUALA TERENGGANU – Banjir yang kembali melanda Terengganu semalam telah merebak ke daerah Kemaman dengan mangsa keseluruhan ini meningkat kepada 299 mangsa.
Mereka yang terdiri daripada 78 keluarga kini berada di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Hulu Terengganu dan Kemaman.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, Hulu Terengganu mempunyai 191 mangsa daripada 58 keluarga.
“Mereka kini berlindung di empat PPS iaitu Bangunan PPS Kampung Lubok Periok, Masjid Kampung Peneh, Balai Raya Kampung Kemat dan Balai Raya Kampung Pelandan.
“Seramai 108 mangsa daripada 20 keluarga pula berada di PPS Dewan Sivik Bukit Kuang, Kemaman,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu Terengganu kembali dilanda banjir melibatkan dua perkampungan terawal iaitu Kampung Lubok Periok dan Kampung Peneh, Hulu Terengganu.
Banjir gelombang pertama yang menjejaskan lebih 10,000 mangsa sebelum ini telah pulih sepenuhnya pada 2 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE














