fbpx
SEBUAH rumah musnah akibat pertempuran di Pursat, sempadan Kemboja dengan Thailand. - Foto AFP

Thailand-Kemboja setuju henti pertempuran – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata semalam bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menghentikan pertempuran di sepanjang sempadan yang dipertikaikan antara kedua-dua negara sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang maut dalam minggu ini.

Pertempuran terbaharu antara dua negara jiran Asia Tenggara itu yang berpunca daripada pertikaian berpanjangan mengenai penandaan sempadan era penjajahan sepanjang 800 kilometer turut menyebabkan kira-kira setengah juta penduduk di kedua-dua belah sempadan terpaksa berpindah.

Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana mencetuskan semula konflik tersebut.

“Saya mengadakan perbualan yang sangat baik pagi ini (semalam) dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, berhubung kebangkitan semula perang lama mereka yang amat malang ini,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

“Mereka telah bersetuju untuk mengentikan semua tembakan berkuat kuasa malam ini (semalam) dan kembali kepada Perjanjian Keamanan asal yang dibuat bersama saya dengan bantuan Perdana Menteri Malaysia yang hebat, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” tambahnya merujuk kepada perjanjian yang dibuat pada bulan Julai lalu.

“Kedua-dua negara bersedia untuk keamanan dan perdagangan berterusan dengan AS,” tulisnya lagi sambil mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas bantuannya.

Sebelum itu, Anutin berkata, selepas panggilan telefon dengan Trump bahawa: “Perkara ini perlu diumumkan kepada dunia bahawa Kemboja akan mematuhi gencatan senjata.”

“Pihak yang melanggar perjanjian perlu membetulkan (keadaan), bukan pihak yang dilanggar,” kata Anutin, sambil menambah bahawa panggilan dengan Trump berlangsung dengan baik.

AS, China dan Malaysia, selaku pengerusi blok serantau ASEAN, telah menjadi pengantara dalam mencapai gencatan senjata pada bulan Julai lalu selepas keganasan awal berlaku selama lima hari antara kedua-dua negara. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI