BANGKOK – Atlet rejam lembing negara, Ng Jing Xuan mencipta kejutan di Sukan SEA Thailand 2025 apabila membawa pulang pingat perak di temasya dwitahunan tersebut.
Lebih manis, impian atlet berusia 21 tahun untuk memecahkan rekod kebangsaan berusia 11 tahun di Stadium Nasional Suphachalasai terlaksana selepas melakukan rejaman sejauh 52.17 meter (m).
Catatan bertenaga itu menyaksikan dia memadam rekod kebangsaan lama 49.34m milik Siti Nur Nadiah Othman yang dilakukan pada Terbuka Thailand 2014.
Catatan itu juga mengatasi rekod peribadi miliknya 49.11m, yang dilakukan pada Kejohanan Terbuka Filipina pada Mei lalu.
Berkongsi kejayaannya itu, Jing Xuan gembira kerana persiapan selama dua tahun untuk menghadapi Sukan SEA Thailand akhirnya berakhir dengan keputusan positif.
“Saya rasa Thailand adalah tempat yang sangat baik, tempat yang membawa tuah. Saya amat gembira kerana dapat mencapai keputusan ini sebab saya memang sudah membuat persiapan untuk Sukan SEA selama dua tahun.
“Saya sentiasa berusaha untuk memecahkan rekod kebangsaan. Tetapi sebelum ini saya berasa agak kecewa kerana di setiap kejohanan seperti Sukan Universiti Dunia saya meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan, namun tidak berjaya.
“Namun, syukur dan bernasib baik kerana saya tidak berputus asa. Saya tahu Sukan SEA adalah kejohanan yang benar-benar memerlukan saya memberikan segala-galanya. Akhirnya tercapai juga impian saya,” katanya.
Pingat emas dimenangi atlet Thailand, Jariya Wichaidit yang mencatat 55.64m, manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Indonesia, Nur Kamila Bahtiar, yang mencatat 51.66m. -KOSMO! ONLINE














