PETALING JAYA – Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan dengan Amerika Syarikat pada 26 Oktober lalu tiada kaitan dengan Agreement on Reciprocal Trade (ART).
Menegaskan perkara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MoU yang dimeterai pada Persidangan ASEAN di Kuala Lumpur itu bersifat tidak mengikat (non-binding) dari segi perundangan yang dirunding sejak tahun 2020.
Malah kata beliau, pemeteraian MoU berkenaan adalah instrumen diplomasi pertahanan seperti yang digariskan dalam Tonggak Ketiga, Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang telah dilancarkan pada tahun 2019 ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang amanah sebagai Perdana Menteri ke-7.
“Kandungan MoU Kerjasama Pertahanan ini tertumpu kepada aktiviti-aktiviti dua hala antara Malaysia dengan Amerika Syarikat merangkumi pembangunan keupayaan dan kapasiti, latihan dan eksesais ketenteraan, sains, teknologi dan industri pertahanan.
“Selain itu, ia turut melibatkan bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama melalui Malaysia-US Strategic Talk (MUSST) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2008,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab kenyataan Dr. Mahathir pada Khamis lalu berkenaan Perjanjian Kerjasama Pertahanan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, selain AS, Malaysia turut menandatangani MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara lain seperti China (2016), Jepun (2018), Lao PDR (2019), Indonesia (2022)dan Vietnam (2023).
Terkini katanya, adalah dengan Emiriah Arab Bersatu (United Arab Emirates, UAE) pada 11 Disember 2025.
“Pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara-negara ini termasuk AS adalah seiring dengan dasar luar Malaysia yang neutral dan berkecuali, serta mendokong komitmen negara kepada deklarasi Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) yang ditandatangani oleh Negara Anggota ASEAN pada tahun 1971.
“Kementerian Pertahanan merakamkan penghargaan atas keprihatinan Tun Mahathir dalam perkara ini dan menegaskan bahawa pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS adalah atas kepentingan negara dalam usaha memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur,”katanya.-KOSMO! ONLINE














