fbpx
JONAH cipta kejutan di Sukan SEA Thailand. -MA

Lontaran ‘emas’ Jonah akhiri penantian 32 tahun negara di Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan, melakar sejarah tersendiri buat kontinjen negara apabila menamatkan penantian 32 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.

Lebih manis, kejayaan di Stadium Nasional Suphachalasai itu hadir dengan aksi luar biasa apabila melakukan lontaran sejauh 18.78 meter (m) sekali gus memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dan juga rekod temasya.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang emas dalam acara tumpuan itu adalah menerusi lagenda olahraga, Arjan Singh pada edisi 1993 di Singapura.

Lontaran kemenangan itu sekali gus memadam rekod kebangsaan lama miliknya, 18.66m yang dicatat pada Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA), September lalu.

Atlet berusia 22 tahun itu turut meleburkan rekod temasya 18.14m yang sebelum ini dipegang oleh atlet Filipina, William Morrison pada edisi 2022.

Biarpun gembira dengan kejayaan berganda itu, Jonah mengakui menyimpan sedikit rasa terkilan kerana tidak berjaya mencapai sasaran peribadinya untuk melepasi catatan 19m.

“Saya bersyukur kerana dapat memperbaharui rekod kebangsaan dan rekod Sukan SEA, kerana itulah sasaran utama saya. Tetapi sasaran kedua, iaitu mahu melakukan lontaran sejauh 19m tidak berjaya.

“Saya gembira tetapi pada masa yang sama saya sedih. Saya dapat rasakan berada pada prestasi terbaik hari ini, cuma mungkin teknik saya tidak berapa menjadi.

“Tetapi tidak mengapa, saya tetap bersyukur kerana berjaya memecahkan dua rekod ini,” katanya.

Emas ini juga menebus kekecewaan atlet kelahiran Sarawak itu yang pulang dengan tangan kosong pada penampilan sulungnya di Sukan SEA Kemboja, dua tahun lalu.

Dalam saingan akhir itu, pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah, Thongchai Silamool dengan catatan 16.80m, manakala gangsa diraih oleh Morrison yang sekadar mampu melakukan lontaran 16.66m. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN