PETALING JAYA – Penyanyi asal Indonesia, Allan Andersn mendedahkan pernah berdepan detik sukar apabila terpaksa menjamah mi segera selama dua minggu disebabkan tidak mempunyai wang membeli makanan.
Menurut Allan, pada ketika itu, wang simpanannya hanya berbaki 40 sen sahaja di dalam akaun dan terpaksa mengikat perut dalam tempoh 14 hari.
“Saya jarang bercerita tentang kesukaran hidup dalam Instagram kerana bukan jenis yang suka menjaja kisah sedih.
Namun, saya ingat waktu terbitkan lagu Rindu, duit saya dalam bank ketika itu selepas bayar kos buat lagu hanya tinggal 1,600 rupiah, bersamaan 40 sen sahaja.
“Selama dua minggu saya hanya makan mi segera sehingga diserang gastrik.
“Waktu itu hanya saya yang tahu betapa susahnya keadaan yang terpaksa dihadapi,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media drama Setiaku Berdiri baru-baru ini.
Meski melalui fasa hidup yang sukar, dia tetap cekal bagi mengejar impiannya sebagai penyanyi.
Ketika fasa tiada duit, lagu Rindu pun susah sangat nak diterima ramai. Bayangkan sebulan hanya 10,000 kali distrim dalam platform media sosial.
“Saya dapat tawaran kerja di Surabaya dan bila dapat wang deposit, saya terus pergi makan daging stik,” katanya lagi.
Allan bagaimanapun bersyukur kerjaya seninya bertambah baik terutama selepas lagu Rindu mula tular dalam media sosial sekitar 2024.
“Sampai sahaja di Bali, saya dapat banyak notifikasi orang guna lagu ini dan tiba-tiba saja viral.
“Saya tak sangka Rindu turut viral di seluruh Indonesia dan syukur rezeki saya makin baik,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Allan turut menyanyikan runut bunyi drama Setiaku Berdiri berjudul Senafas.
Drama arahan Rashid Sibir itu dibintangi Wanna Ali, Nazrief Nazri, Sweet Qismina dan Aidit Noh. – KOSMO! ONLINE














