WASHINGTON – Gergasi teknologi Amazon dan Microsoft mengumumkan pelan pelaburan bersama berjumlah AS$52.5 bilion (RM216 bilion) di India dalam tempoh beberapa tahun akan datang, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Amazon berkata, ia akan melabur AS$35 bilion (RM144 bilion) di India menjelang 2030 untuk memajukan pendigitalan yang dipacu kepintaran buatan (AI), pertumbuhan eksport dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Perkara itu diumumkan sehari selepas Microsoft berkata, pihaknya komited melabur AS$17.5 bilion (RM72 bilion) untuk mengukuhkan ekosistem AI India.
India yang merupakan hab baharu infrastruktur AI dan penstoran awan, menyaksikan lonjakan pelaburan teknologi global, baru-baru ini.
Oktober lalu, Google mengumumkan pelaburan AS$15 bilion(RM62 bilion) untuk membina hab data AI, manakala awal minggu ini, Intel mengumumkan kerjasama dengan Tata Electronics yang berpangkalan di Mumbai sebagai pelanggan utama dalam pelan pembuatan semikonduktor berjumlah AS$14 bilion (RM58 bilion).
“Apabila melibatkan AI, dunia optimis tentang India,” kata Perdana Menteri Narendra Modi dalam catatan di platform X selepas bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella.
Komitmen baharu Microsoft itu susulan daripada pelaburan berjumlah AS$3 bilion (RM12 bilion) yang diumumkan oleh syarikat itu awal tahun ini.
“Ia merangkumi ‘wilayah awan hiperskala’ baharu. Ia merupakan kumpulan pusat data di bandar Hyderabad, selatan India, yang dijadualkan beroperasi pada pertengahan 2026,” kata Microsoft dalam satu kenyataan. – AGENSI














