MILAN – Pengurus Liverpool, Arne Slot memuji barisan pemain yang tidak belot untuk terus berdiri teguh di belakangnya selepas membantu pasukan melakar kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.
Pada perlawanan di Stadium San Siro itu, skuad The Reds berjaya melunaskan misi untuk kembali berada di landasan kemenangan selepas meraih gol tunggal menerusi sepakan penalti yang diambil oleh Dominik Szoboszlai.
Keputusan itu melegakan tekanan yang dihadapi Slot setelah dikritik oleh pemain sensasi The Reds, Mohamed Salah sehingga disisihkan oleh pengendali dari Belanda itu pada aksi kali ini.
Slot mengakui enggan melayan ‘drama’ kontroversi itu, sebaliknya mahu fokus dengan barisan pemain yang kekal setia bersama pasukan ketika ini.
“Saya tidak terkejut kita dapat meraih keputusan positif kerana Liverpool memiliki sejarah yang panjang dan banyak kali mencipta malam gemilang seperti ini.
“Namun, saya puji mentaliti dan prestasi semua pemain yang beraksi pada kali ini kerana mereka layak untuk dipuji selepas membantu pasukan melakar kemenangan,” katanya.
Sementara itu, Slot mengakui Liverpool bernasib baik apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas gol yang dilakukan oleh Ibrahima Konaté pada awal perlawanan dibatalkan.
“Kalau itu dikira penalti, mungkin kami mungkin sudah dapat 10 penalti musim ini. Dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kita tidak berikan penalti dengan mudah,” katanya. – AGENSI














