SKUAD hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara terus mengukuhkan reputasi sebagai pencabar pingat emas apabila menamatkan liga sepusingan dengan tiga kemenangan bergaya dan rekod jaringan tertinggi kejohanan.
Prestasi itu melonjakkan keyakinan Malaysia menghadapi separuh akhir menentang Filipina hari ini selepas pasukan kembali menemui sentuhan penyudah tepat pada masa.
Ketua jurulatih lelaki, Wan Mohd. Roslan Wan Abd. Rahman berkata, pemain pada tahap terbaik selepas momentum jaringan kembali menyerlah dan memberikan pasukan kelebihan penting menjelang aksi penentuan itu.
“Kemenangan ini kita nanti-nantikan kerana pemain akhirnya dapat menjaringkan gol dengan lebih mudah dan ini menunjukkan mereka berada pada prestasi terbaik sebelum separuh akhir,” katanya.
Beliau menegaskan kedudukan di puncak liga memberi laluan lebih baik buat Malaysia, namun mengingatkan pemain supaya mengekalkan disiplin dan fokus memastikan usaha menempah tiket final tidak terganggu.
Skuad wanita turut mempamerkan aksi meyakinkan dengan tiga kemenangan berturut-turut serta rekod 25 gol menjadikan Malaysia pasukan paling berbisa setakat ini.
Kemenangan 7-2 ke atas Thailand kelmarin menjadi bukti kematangan permainan Malaysia yang semakin kemas di semua posisi termasuk serangan pantas, tekanan tinggi dan penyudah klinikal.
Jurulatih wanita, G. Sasitheran mengingatkan pemain agar tidak menganggap separuh akhir menentang Filipina hari ini sebagai laluan mudah sambil menegaskan fokus penuh diperlukan kerana semua pasukan memiliki peluang sama rata di pusingan kalah mati.
“Kita perlu lebih fokus dan gunakan hari rehat ini untuk menganalisis lawan supaya kita lebih bersedia dan mantap untuk ke pusingan seterusnya,” jelasnya.
Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk menempah dua slot final bagi memburu dua pingat emas acara hoki 5s kali ini. – KOSMO! ONLINE














