PETALING JAYA – “Aku rindu dia sangat…keluarga aku dah cuba sedaya upaya cari tapi tetap tak ada.”
Demikian luahan Dayang Shareena, 21, yang merindukan kasih sayang seorang adik apabila remaja berusia 15 tahun itu hilang sejak enam tahun lalu.
Dayang Shareena merayu orang ramai untuk membantu mengesan adik lelakinya, Zahiruddin Putra yang hilang pada 2019 selepas keluar bermain berhampiran rumah mereka di Bandar Seri Putra, Bangi.
Dia menerusi perkongsian di Threads berkata, walaupun keluarganya sudah berusaha sedaya upaya termasuk membuat hebahan serta pencarian di kawasan sekitar, usaha itu masih belum membuahkan hasil.
“Assalamualaikum semua…saya kakak kepada adik dalam gambar ini. Dia hilang masa 2019 sampai sekarang tak jumpa. Rindu tu jangan cakaplah. Tolong ‘repost’ sampai ada yang kenal dia,” katanya.
Dayang Shareena berkata, kebiasaannya, Zahiruddin akan pulang selepas maghrib, namun pada hari kejadian, adiknya itu tidak muncul semula.
“Dia hilang masa main dengan kawan-kawan. Selalunya lepas maghrib dia balik, tapi hari tu dia tak balik. Demi Allah, aku rindu sangat adik aku,” ujarnya.
Tambahnya, kali terakhir Zahiruddin dilihat adalah di kawasan rumah mereka di Bandar Seri Putra dan dia merayu penduduk sekitar Bangi dan Kajang atau sesiapa sahaja yang mungkin pernah ternampak remaja menyerupai adiknya supaya tampil memberikan maklumat.
“Kalau ada yang nampak muka serupa, tolong hubungi nombor ni 017-739 5031. Nampak adik ini tolong pegang. Tolong sama-sama viralkan,” katanya.
Terdahulu, Zahiruddin dilaporkan keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra, Kajang pada 15 April 2019 untuk bermain dan sejak itu tidak pulang menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.
Pencarian mangsa sebelum ini turut dibantu sepasukan anggota polis dari Unit K9 (Unit Anjing Pengesan) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA bagi mengesan jejak remaja berkenaan.
Proses pencarian dimulakan di kawasan sekitar pangsapuri kediaman Zahiruddin dan diteruskan sehingga kawasan kolam takungan dan di tebing Sungai Semenyih. – KOSMO! ONLINE














