fbpx
SKUAD negara turun dengan misi mempertahankan pingat emas selain mengekalkan status sebagai kuasa besar hoki Asia Tenggara.

Sukan SEA: Speedy Tigers mahu luaskan kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD hoki lelaki negara menyertai temasya Sukan SEA 2025 di Chonburi dengan misi yang lebih daripada sekadar mempertahankan kejuaraan apabila berhasrat melebarkan rekod 17 kali juara serta membuktikan status sebagai kuasa utama Asia Tenggara.

Sejak pertama kali dipertandingkan pada 1971, Malaysia hampir menyapu bersih kesemua edisi acara hoki padang lelaki, hanya terlepas emas sekali pada 1973, menjadikan Speedy Tigers pilihan utama menjelang aksi di Thailand dari 11 hingga 19 Disember ini.

Aksi dengan format liga sepusingan, lima negara bertanding membabitkan Malaysia, Myanmar, Thailand, Indonesia dan Singapura, namun hanya empat pasukan terbaik akan layak ke separuh akhir.

Ia sekali gus menjadikan setiap perlawanan peringkat kumpulan bersifat hidup-mati dalam usaha memastikan laluan lebih mudah ke pentas final.

Di atas kertas, Malaysia selaku pasukan ranking ke-13 dunia hadir sebagai pilihan utama, jauh mengatasi Myanmar (69), Thailand (72), Indonesia (75) dan Singapura (81), namun Speedy Tigers enggan dibuai, malah menegaskan kedudukan ranking bukan jaminan kemenangan.

Ketua jurulatih, Sarjit Singh berkata skuad kali ini dibentuk berasaskan prestasi di Piala Sultan Azlan Shah, dengan tiga muka baharu diserap bagi menambah variasi taktikal dan memperkukuh unit serangan serta pertahanan.

“Kami mengekalkan skuad yang sama ketika Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini dan membawa masuk tiga pemain baharu. Mereka ialah Najib Hassan, Alfarico Jr dan Amanraj Singh,” katanya.

Sarjit pada masa sama mengingatkan bahawa landskap hoki ASEAN sudah berubah dengan semua pasukan kini tampil lebih bersedia, agresif dan berani mencabar dominasi Malaysia.

“ASEAN kini penuh dengan pasukan yang mahu mencabar Malaysia. Kami hormati semua lawan. Fokus kami bukan menilai siapa bukan tandingan, tetapi memastikan kami kekal bermain mengikut standard sendiri dan membawa pulang pingat emas,” jelasnya.

Speedy Tigers dijadual membuka kempen menentang Myanmar pada 12 Disember sebelum berdepan Indonesia, Singapura dan akhirnya tuan rumah Thailand ketika mereka memburu satu lagi halaman gemilang dalam sejarah hoki negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI