KUALA LUMPUR – Pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) bagi mengehadkan umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun akan turut meliputi pembelian permainan dalam talian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kerajaan sedang mengkaji pelaksanaanya secara berkesan bagi memastikan golongan muda tidak terdedah kepada kandungan yang memudaratkan.
“Kita sekarang mengkaji bagaimana kita nak buat pengesahan umur dan identiti untuk memastikan kita boleh mengawal,” katanya pada sidang Dewan Negara, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Abdul Halim Suleiman berhubung tindakan segera kerajaan untuk menyekat pembelian permainan dalam talian oleh golongan kanak-kanak tanpa pengetahuan ibu bapa.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan menyasarkan semua platform media sosial melaksanakan eKYC menjelang akhir suku kedua 2026 bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun media sosial.
Terdahulu, Nie Ching melahirkan kekesalan ramai ibu bapa yang sepatutnya memainkan peranan penting tidak menggunakan ‘parental control’ yang membolehkan mereka mengawasi penggunaan telefon pintar.
Kata beliau, sebahagian ibu bapa membenarkan anak mereka menggunakan telefon pintar tanpa bimbingan kerana mereka mahukan ‘me time’ (masa untuk diri sendiri).
“Mereka boleh guna ‘kuasa’ mereka melalui aplikasi yang mengizinkan ‘parental control’ supaya boleh mengawal dan memantau termasuk laman web dikunjungi anak.
“Malangnya kita perlu akui tak ramai ibu bapa yang sedar bahawa ada alat yang mengizinkan mereka buat ‘parental control’,” katanya.
Ujar beliau, ibu bapa perlu memantau penggunaan internet anak-anak bagi mengelak terdedah kepada elemen keganasan, jenayah, perjudian dan ganjaran maya yang menggalakkan tingkah laku agresif.
“Perlu ditekankan di sini bahawa peranti bukan pengasuh, peranti bukan pengganti ibu bapa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














