KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial dan suaminya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan tujuh ekor hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen, September lalu.
Pasangan suami isteri, Nur Nina Farisha Woo Abdullah, 28, dan Mohamad Zulaiman Din, 28, yang dituduh selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mokhtarudin.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga kelima, mereka dituduh menyimpan tiga ekor ular green tree phyton (morelia viridis), seekor ular carpet phyton (morelia spilota), seekor ular sawa batik (phyton reticulatus), seekor iguana dan seekor kura-kura sulkata (centrochelys sulcata) tanpa lesen.
Kesemua haiwan itu merupakan hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis perniagaan di Jalan Damai Raya 1, Alam Damai, Cheras dekat sini pada pukul 4.30 petang, 20 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh dihukum mengikut seksyen 60(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabit bersalah, kedua-dua OKS boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mas Izzaty Lokman dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Mas Izzaty memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan pasangan itu perlu melapor diri ke pejabat Perhilitan terdekat sebulan sekali.
Bagaimanapun, Nur Nina dan Mohamad Zulaiman merayu mahkamah menetapkan ikat jamin lebih rendah dengan alasan mereka tidak mampu membayar jumlah yang tinggi dan mempunyai dua anak dan ibu bapa untuk disara.
Siti Shakirah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.
Mahkamah mentapkan tarikh 8 Januari depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE














