KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pembantu kedai makan menambah pendapatan menerusi program affiliate penjualan produk bukan sahaja tidak kesampaian malah dia pula kerugian RM77,889 akibat diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.
Lelaki berusia 34 tahun yang menyedari tertipu berkenaan telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 4.10 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pembantu kedai makan tersebut ditawarkan peluang kerja sambilan tersebut oleh salah seorang kenalan media sosialnya menerusi aplikasi WhatsApp pada 4 Oktober lalu.
“Mangsa ditawarkan pulangan keuntungan 10 peratus menerusi program affiliate sekiranya berjaya menjual pakaian dan aksesori wanita.
“Dia yang tertarik telah diarahkan memuat naik dan mendaftar aplikasi bagi memulakan kerja sambilan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Azli berkata, tidak lama kemudiaan, pembantu kedai makan tersebut gembira menerima pesanan daripada pelanggan menerusi aplikasi terbabit.
Beliau berkata, begitupun lelaki itu perlu membuat pembayaran kononnya ‘yuran proses’ bagi menyelesaikan transaksi pesanan pelanggan terbabit.
“Mangsa yang tidak syak apa-apa mengikut arahan tersebut. Selain menggunakan wang simpanannya, dia juga meminjam daripada saudara dan kawan bagi membayar ‘yuran proses’ berkenaan.
“Transaksi dilakukan secara berperingkat ke dalam enam akaun bank berbeza antara 16 Oktober hingga 26 November lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














