PETALING JAYA – Gelagat seorang bapa sanggup bertukar sehingga lima pasang uniform Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) demi memenuhi permintaan anak perempuannya mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian si ibu, anak tunggal perempuannya membuat permintaan kepada ayah untuk memakai semua uniform TUDM miliknya sempena hari terakhir persekolahannya.
“Sesi penggambaran keluarga kecilku, suami dan anak minta untuk bergambar. Kakak minta ayah pakai semua uniform ayah sekali sempena tahun terakhir persekolahan.
“Suami ikutkan sahaja. Anak kesayangan, mana boleh tolak. Sanggup dia berpeluh tukar lima pasang baju, siap pakai blazer lagi,” katanya.
Menurutnya, anak perempuannya mahu mengambil gambar sebagai kenangan berpakaian uniform sekolah buat kali terakhir.
Difahamkan, uniform milik bapanya terdiri daripada pakaian rasmi istiadat, latihan dan harian TUDM yang dipakai bersesuaian tugasan serta majlis, selain daripada blazer.
Sementara itu, si ibu juga turut dilihat memperagakan pakaian seragam Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Udara sebagai isteri kepada anggota askar TUDM untuk sesi penggambaran bersama keluarganya.
Perkongsian itu meraih pelbagai reaksi netizen yang meluahkan rasa kagum dengan kesungguhan suami isteri demi memenuhi permintaan anaknya.
“Saya tengok jam itu daripada pukul 10 pagi sehingga 11.50 pagi baru siap sesi penggambaran,” komen @Shaerifah.
“Si ayah yang paling penat bertukar-tukar baju. Dia sahaja dah beberapa helai baju uniform,” komen @Loccomocca.
“Ayahnya hanya perlu 10 minit sahaja untuk tukar uniform. Bila anak dan isteri kena tukar baju juga, masa untuk bersiap jadi 30 minit. Semoga keluarga puan bahagia sampai akhirnya,” komen @Saifful_syahirah. –KOSMO! ONLINE














