fbpx
MUHAMMAD FIRDAUS menunjukkan kad OKU dan video terbaharunya yang mendapat 2.2 juta tontonan di media sosial. - Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Sengau jadi kelebihan, video Firdaus ditonton 2.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Enggan dipandang rendah kerana kekurangan diri, seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) pertuturan, Muhammad Firdaus Mohd Rajab, 17, menjadikan bunyi sengau sebagai satu kelebihan dengan menjadi pengulas makanan.

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, dia kini bekerja di sebuah restoran dan menguruskan promosi menu makanan di tempat kerjanya, dengan videonya terbaharu mendapat 2.2 juta tontonan.

Ujarnya, peranan itu dianggap sebagai cabaran untuk dirinya membuktikan kekurangan tersebut mampu dijadikan kelebihan, yang bukan sahaja menambah keyakinan diri tetapi kini turut menjadi sumber rezeki.

“Saya sudah puas diejek, dibuli, dihina dan diaibkan sejak sekolah rendah dan saya tidak mahu kelemahan ini menjadi modal untuk meraih simpati orang ramai tetapi sebaliknya.

“Waktu umur 12 tahun, saya sudah bekerja sambilan dan hari ini saya semakin seronok apabila majikan membenarkan saya menghasilkan video mempromosikan menu di restorannya sejak Jun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Papayun Kitchen, Kampung Hulu, di sini, hari ini.

Dia yang mesra disapa Aus berkata, meskipun dia kini mula digelar sebagai pempengaruh, namun keadaan sengaunya itu turut menimbulkan rasa kurang selesa terhadap segelintir penonton.

“Ada yang kata saya mempersendakan diri sendiri dan ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap kekurangan saya.

“Itu semua tidak benar, saya buat video promosi itu kerana mahu membuktikan kemampuan diri, kalau hendak difikirkan apa orang kata, sampai bila-bila pun saya tak maju, tak boleh berdikari seperti hari ini,” ujarnya.

Terdahulu, kisah Muhammad Firdaus yang membuat reviu makanan tular di media sosial sehingga mendapat 2.2 juta tontonan, dikongsi lebih 128,000 kali dan menerima hampir 6,000 komen.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI