fbpx
Mohamad Hasan.

Malaysia seru pertempuran di sempadan Thailand- Kemboja dihentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kerajaan Malaysia terus menyeru agar semua pihak terlibat mengambil langkah segera meredakan pertikaian tercetus di sempadan Thailand dan Kemboja.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan usaha perdamaian yang dicapai kedua-dua negara sebelum ini.

“Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau kekal sebagai keutamaan utama Malaysia.

“Sehubungan itu, Malaysia memandang serius perkembangan terkini di kawasan sempadan Thailand–Kemboja dan menyeru agar semua pihak mengambil langkah segera bagi meredakan keadaan.

“Ia bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan usaha perdamaian yang telah dicapai sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Mohamad berkata, Malaysia mengiktiraf komitmen kedua-dua negara melalui Perjanjian Gencatan Senjata pada 28 Julai selain Mesyuarat GBC pada 7 Ogos serta KL Accord yang dimeterai pada 26 Oktober lalu.

“Dalam semangat persefahaman serantau dan kepatuhan kepada komitmen terdahulu, Malaysia menyeru agar semua pihak kembali merujuk serta mematuhi Para 7 Perjanjian Gencatan Senjata bertarikh 28 Julai lalu.

“Malaysia percaya bahawa melalui dialog berterusan, langkah diplomatik yang konstruktif serta penghormatan terhadap mekanisme dua hala yang sedia ada, keamanan dan kestabilan dapat dikekalkan demi kepentingan bersama rantau ini,” katanya.

Terdahulu, seorang anggota tentera Thai dilaporkan terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pertempuran baharu yang tercetus di sempadan dengan Kemboja.

Kejadian dilaporkan berlaku apabila tentera Kemboja melepaskan tembakan ke arah pasukan Thailand awal pagi tadi di Wilayah Ubon Ratchathani.

Insiden itu sekali gus meningkatkan semula ketegangan selepas kedua-dua negara saling menyalahkan atas tercetusnya pertempuran terbaharu di sepanjang sempadan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI