TOKYO – Seorang pekerja pusat hiburan dewasa di Tokyo terkejut apabila menemukan kepala bayi, lengan dan kaki di dalam peti sejuk premis tersebut, lapor akhbar The Japan Times semalam.
Penemuan dibuat kelmarin di daerah Sumida, Tokyo, demikian menurut Jabatan Polis Metropolitan.
Polis berkata, mereka menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) daripada seorang pekerja lelaki yang mengatakan bahawa dia menemukan kepala bayi ketika sedang membersihkan peti sejuk.
Pegawai yang bergegas ke lokasi kejadian menemukan cebisan mayat di dalam ruang penyejuk beku peti sejuk mini.
Kepala itu dibalut dengan beg plastik, manakala lengan serta kaki diletakkan di dalam bekas makanan plastik.
Cebisan itu dipercayai milik bayi berusia sekitar beberapa bulan, tetapi jantinanya tidak diketahui setakat ini. – AGENSI














