KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak pernah mengalihkan penghadang keselamatan (barrier) di lokasi insiden sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terjunam ke dalam gaung seperti didakwa oleh penduduk setempat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jika benar terdapat barrier yang dialihkan, tindakan itu bukan dilakukan oleh JKR yang sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), khususnya di kawasan cerun atau lokasi berisiko runtuhan.
“Jika benar dialihkan, ia bukan dilakukan oleh JKR. Kita sentiasa ikut SOP, terutama di lokasi yang mempunyai isu cerun atau keruntuhan.
“Langkah keselamatan memang kita ambil. Jadi, kalau dakwaan itu betul, kita perlu tahu siapa yang mengalihkan barrier tersebut,” katanya ketika ditermui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini.
Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan dan ia merupakan prosedur standard setiap kali berlaku kejadian melibatkan keselamatan jalan raya.
“Pasukan kita turun ke lokasi dan membuat pemeriksaan mengikut SOP JKR. Buat masa ini, kita belum tahu punca sebenar,” katanya.
Alexendar turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.
“Jika ada sesiapa yang tahu, maklumkan kepada kita. Kita juga ada bilik gerakan bencana bagi memantau cerun, banjir dan semua faktor yang boleh menyebabkan kerosakan jalan atau mengancam keselamatan pengguna,” ujarnya.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan sebuah Toyota Fortuner yang dinaiki seorang guru, Hassan Shazali, 52 dan Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung kira-kira pukul 5.30 petang.
Kemalangan tersebut menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE














