PETALING JAYA – Polis menjalankan siasatan berhubung satu laporan melibatkan ugutan bunuh terhadap seorang peguam yang diterima menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, laporan berkenaan diterima polis pada pukul 5.16 petang semalam.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa membaca satu komen berunsur ugutan bunuh yang ditinggalkan oleh seorang individu tidak dikenali dalam satu hantaran di media sosial ketika berada di pejabatnya.
“Komen tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kes yang sedang dikendalikan oleh peguam berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














