fbpx
Naazron ketika ditemui di lokasi kejadian mangsa lemas di Prima Saujana, Kajang malam ini.

Ibu bapa sahkan identiti remaja berusia 14 tahun dihanyutkan arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Penantian penuh debaran keluarga berakhir apabila identiti mayat seorang remaja berusia 14 tahun yang dihanyutkan arus sungai di Prima Saujana di sini, disahkan oleh ibu bapanya malam ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa dikenal pasti berdasarkan pakaian yang dipakai sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga yang dijalankan mencatat perkembangan apabila pukul 5.15 petang, lokasi mangsa dikesan oleh anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat di kawasan kolam takungan air Prima Saujana.

“Susulan pengesanan itu, pasukan SAR digerakkan ke lokasi dengan kekuatan seramai 53 pegawai dan anggota melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengairan dan Saliran serta NGO Rescue Bencana.

“Pada pukul 8.35 malam, pasukan SAR berjaya menemui mangsa yang tersangkut di bawah struktur saliran konkrit,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Naazron berkata, jarak antara lokasi kejadian dan tempat mangsa ditemui adalah kira-kira 700 meter.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi serta pihak terlibat yang bertungkus-lumus menjayakan operasi SAR serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan yang dialami.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kejadian Khamis itu membabitkan dua kanak-kanak lelaki bersaudara berusia 12 tahun dan Khalish Shahdan, 14, tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar sebelum dihanyutkan arus deras.

Mayat adiknya, Qayyum Shaqeel, 12, ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi terjatuh pada malam kejadian di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan jam 7.47 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI