PETALING JAYA – Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru memperkukuh ilmu dan kemahiran sebagai persiapan menghadapi pelbagai cabaran yang menanti tahun depan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, keupayaan anggota serta pegawai untuk terus relevan dan cemerlang bergantung kepada tahap pengetahuan dan kemahiran dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Saya dengan rasa rendah diri mengucapkan tahniah tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini, yang berjaya dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
“Pembabitan lebih 10,000 pegawai dan kakitangan membuktikan komitmen Sang Saka Biru yang sentiasa memberikan yang terbaik demi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Disember 2025 anjuran JPJKK di Bukit Aman, hari ini.
Mengulas perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mohd Khalid berkata proses itu turut berlangsung dengan teratur hasil penempatan lebih 12,000 pegawai dan anggota, termasuk bantuan Polis Bantuan dan Sukarelawan Polis (PVR).
“Saya percaya komitmen yang tidak berbelah bahagi ini membuktikan warga PDRM sentiasa bersedia 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, 365 hari setahun,” ujarnya.
Pada majlis sama, Mohd Khalid menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 penerima dari pelbagai jabatan atas prestasi cemerlang mereka sepanjang tahun ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata PDRM melalui JPJKK kekal komited membanteras isu buli dalam kalangan pelajar.
Katanya, Kempen Anti-Buli yang dilancarkan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) pada Oktober lalu merupakan langkah proaktif bagi meningkatkan kesedaran pelajar, ibu bapa dan komuniti sekolah mengenai bahaya buli.
“Inisiatif ini bertujuan mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, positif serta mendorong rasa hormat dan empati, di samping memberi sokongan kepada mangsa,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh keselamatan sekolah turut diteruskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Permuafakatan PDRM-KPM pada 28 Oktober lalu, yang menetapkan strategi serta dasar komprehensif bagi memastikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif. – KOSMO! ONLINE














