fbpx
Pelaksanaan Skim Lindung 24 jam yang telah lama diperjuangkan kini akan dapat memberi banyak kelebihan dan perlindungan kepada pekerja tempatan.

Skim Lindung 24 jam ringankan beban 10 juta pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pekerja sektor formal di seluruh negara bakal menikmati perlindungan sosial yang lebih komprehensif apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 2025 sekali gus memperkenalkan skim Lindung 24 Jam.

Langkah baharu ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 10 juta pekerja sektor formal, yang akan dilindungi sepenuhnya tanpa mengira waktu atau lokasi sesuatu kejadian berlaku.

Ia dilihat sebagai anjakan besar dalam sistem perlindungan sosial negara yang dilaksanakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, skim Lindung 24 Jam dijangka dapat membantu mengurangkan beban kewangan pekerja dan keluarga mereka.

Menurutnya, perlindungan ­menyeluruh itu penting bagi memastikan pekerja menerima bantuan sewajarnya dalam aspek rawatan, pengurusan hilang upaya dan proses pemulihan.

Beliau menegaskan, kerajaan melihat perlindungan holistik sebagai satu keperluan, bukan lagi pilihan, selaras dengan amalan di negara-negara maju.

“Dalam era kerja hibrid dan aturan kerja anjal, garis antara kerja dan kehidupan semakin kabur. Kita bekerja dari rumah, dari kafe, bahkan dari taman sambil menemani anak-anak.

“Namun, hanya 42 peratus pekerja mempunyai perlindungan kemalangan peribadi atau takaful.

“Sebab itulah Kerajaan memperkenalkan Lindung 24 Jam yang melindungi pekerja walaupun kemalangan itu berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkait langsung dengan penggajian mereka,” katanya.

Sebagai contoh, Firdaus, 25, yang bekerja di syarikat pembinaan dengan gaji RM1,700 sebulan mengalami kemalangan ketika pulang ke kampung pada hari cuti.

Dia mengalami cedera parah, patah kedua-dua tulang tangan, kecederaan pergelangan kaki dan trauma dalaman dan terlantar 60 hari di hospital.

Kerana kemalangan berlaku di luar waktu kerja, undang-undang hari ini mengklasifikasikannya sebagai Bukan Bencana Kerja dan Firdaus tidak layak menerima sebarang faedah PERKESO.

Kos rawatan puluhan ribu ringgit akhirnya ditanggung keluarga menyebabkan ibu bapanya hampir menjual tanah pusaka demi menyelamatkannya.

Melalui skim Lindung 24 Jam, dengan caruman serendah RM12.35 sebulan membolehkan Firdaus menerima Elaun Hilang Upaya Sementara sehingga RM4,752 mengikut hari cuti sakit (RM26.40 sehari).

Jika Firdaus mengalami kecacatan kekal, beliau layak memohon Faedah Hilang Upaya Kekal berdasarkan taksiran Jemaah Doktor, merangkumi bayaran pukal sehingga RM30,400.92 dan bayaran bulanan RM712.80 seumur hidup.

Dia juga layak menerima Elaun Layanan Sentiasa juga akan yang dibayar sebanyak RM500 seumur hidup serta rawatan perubatan dan pemulihan tanpa had mengikut Akta Fi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN