fbpx
Shamsul Iskandar dan Albert Tei di Mahkamah Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Shamsul Iskandar, Albert Tei didakwa lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM- Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan rasuah penyewaan rumah.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

“Mengaku tidak bersalah, mohon bicara,” kata mereka.

Shamsul Iskandar, 51, sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang RM64,924 daripada Tei Jiann Cheing atau Albert Tei bagi tujuan pembayaran sewa rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.

Albert, 37, pula didakwa memberi suapan wang itu kepada Shamsul Iskandar bagi tujuan tersebut. Kesalahan dilakukan di sebuah cawangan bank di Country Heights pada 28 November 2023 dan 23 September 2024.

Pemberian dan penerimaan wang itu sebagai dorongan bagi menbantu syarikat yang ada kepentingan dengan Albert untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Shamsul Iskandar didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala Albert pula mengikut Seksyen 17(b) akta sama. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon mahkamah mengguna pakai terma dan syarat jaminan sama kepada Shamsul Iskandar dan Albert seperti di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

“Kami juga memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur supaya kesemua kes dibicarakan secara serentak,” katanya.

Shamsul Iskandar diwakili peguam Datuk Amer Hamzah dan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff, manakala Albert yang diwakili Mahajoth Singh, Amanda Mathew, Reenajit Kaur Golen, Eric Paulsen dan Rajesh Nagarajan tidak membantah permohonan itu. Mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Kosmo! semalam melaporkan Shamsul Iskandar dan Albert mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah bernilai lebih RM176,000. Mereka dibenarkan diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI