KUALA LUMPUR – Perbelanjaan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) atau elaun ‘on-call’ kepada pegawai perubatan dan pegawai pergigian Kementerian Kesihatan (KKM) dianggarkan sekitar RM407 juta setahun bermula tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ETAP telah dinaikkan sekitar 40 peratus berkuat kuasa 1 Oktober lalu dan semua fasiliti kesihatan KKM telah diarah menguatkuasakan pelaksanaan kadar baharu ETAP tersebut.
“Kadar ETAP sedia ada bagi pakar perubatan dan pakar pergigian dinaikkan kepada kadar baharu antara RM135 hingga RM350 semalam (satu malam)
“Bagi pegawai perubatan dan pegawai pergigian bukan pakar, kadar baharu ETAP antara RM110 hingga RM300 semalam,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) berhubung semakan kenaikan elaun “on-call’ kepada petugas kesihatan.
Dr. Dzulkefly berkata, pelaksanaan kadar baharu ETAP itu turut dipanjangkan kepada pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang bertugas di fasiliti kesihatan kerajaan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Awam (UA).
Terdahulu, beliau berkata, KKM dari semasa ke semasa meneliti secara mendalam keperluan operasi dan tanggungjawab tugas kritikal pegawai perubatan.
Katanya, mereka terlibat secara langsung dalam menyelamatkan nyawa pesakit dari katil ke katil tanpa mengira masa serta menuntut tahap kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang luar biasa.
Menurut beliau, KKM secara purata membelanjakan sebanyak RM287 juta setahun daripada peruntukan diagihkan agensi pusat bagi pembayaran ETAP kepada
pegawai perubatan dan pegawai pergigian KKM.
“Bagi menampung kenaikan kadar ETAP seperti mana diumumkan menerusi Belanjawan 2026, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta setahun kepada KKM,” katanya. – KOSMO! ONLINE














