LONDON – Bekas penyerang Manchester United, Louis Saha memberi cadangan kepada bekas kelabnya itu untuk cuba menilai potensi perpindahan bintang Brazil, Neymar ke Old Trafford yang dilihat mampu mengembalikan prestasi pemain itu.
Neymar, 33, terpaksa bermain dalam kesakitan dan mengetepikan nasihat daripada doktor demi membantu pasukan zaman kanak-kanaknya, Santos daripada tersingkir ke divisyen kedua Liga Brazil.
Selepas meninggalkan Al Hilal di Liga Arab Saudi pada awal tahun ini, proses pemulihan Neymar dilihat tidak berjalan dengan baik menyebabkan dia sukar untuk kembali mendapatkan prestasi terbaiknya sebelum ini.
Saha percaya bahawa Neymar mampu menikmati semula prestasi cemerlangnya sekiranya berhijrah ke United dengan menerima rawatan terbaik serta kembali ke tahap kecergasan terbaik.
“Jika anda tanya saya enam bulan lalu, saya akan katakan bahawa saya sangat gembira untuk melihat Neymar di Manchester United. Ketika ini, kecederaannya belum pulih dan mengganggu prestasinya.
“Namun, saya yakin bahawa Neymar masih belum hilang sentuhan, sekiranya badannya berada dalam keadaan terbaik, dia akan menjadi nilai tambah sempurna untuk skuad United.
“United memerlukan seorang pemain yang mampu berkorban untuk pasukan, yang menyintai kelab yang disertai. Saya fikir Neymar memerlukan cabaran, tetapi dia perlu menetapkan mentalnya,” jelas Saha. – AGENSI














