PETALING JAYA – Kapal persiaran pertama China, M/V Piano Land yang memulakan pelayarannya mulai awal bulan ini bakal merebut peluang sektor pelancongan muslim yang bernilai tinggi bukan sahaja di pasaran Malaysia, ASEAN malah di peringkat global.
Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Cheong Ken Lee berkata, kelebihan kapal persiaran yang berusia hampir 30 tahun itu memiliki kelebihannya tersendiri kerana tiada kemudahan kasino sepertimana yang terdapat di kapal persiaran berjenama popular dalam industri ini.
Lebih menarik, dapur bagi salah sebuah restoran yang terdapat di dalam kapal berkenaan, iaitu Restoran Lido telah mendapat sijil sertu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi meningkatkan keyakinan pelanggan khususnya daripada komuniti Islam untuk belayar serta menikmati makanan di atas kapal tanpa sebarang rasa was-was.

Menurut beliau, ini adalah langkah awal syarikat untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim untuk dapur yang menawarkan makanan secara bufet kepada pelanggan sebanyak empat kali sehari sepanjang pelayaran.
Lebih meyakinkan pelanggan, syarikat juga mengutamakan vendor dan pembekal bahan mentah untuk pengoperasian restoran berkenaan memiliki sijil halal.
Inisiatif syarikat ini menjadikan M/V Piano Land sebagai salah satu kapal persiaran mesra muslim yang bersesuaian untuk semua golongan bukan sahaja digemari oleh warga emas tetapi berkeluarga termasuk pasangan suami isteri muda bersama anak-anak kecil dan juga golongan muda.
“Industri pelayaran khususnya bagi golongan Islam adalah terlalu besar dan masih untouchable, pasaran tersebut masih belum diteroka dengan sebaiknya oleh mana-mana syarikat dan saya mahu mengambil peluang ini untuk menarik lebih ramai pelancong Islam belayar bersama kami,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Hwajing Travel adalah syarikat tempatan yang membawa kapal persiaran tersebut ke pasaran serantau daripada pemiliknya iaitu Astro Ocean Cruise, sebuah syarikat pelayaran China.
M/V Piano Land memulakan pelayaran sulungnya ke Pulau Pinang dengan membawa lebih 1,000 penumpang dan telah diraikan dalam satu majlis meriah di Pelabuhan Klang baru-baru ini.
Penampilan sulung kapal persiaran ini membuktikan kesungguhan syarikat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pelayaran serantau
Kapal persiaran mewah itu pada asalnya adalah sebuah kapal klasik Eropah yang telah dinamakan sendiri oleh Ratu Elizabeth II. -KOSMO! ONLINE














