KYIV – Presiden Volodymyr Zelensky membatalkan pertemuan dengan utusan Donald Trump bagi membincangkan pelan damai dengan Russia dalam tindakan yang memberikan tamparan hebat kepada rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS) berkenaan, lapor portal berita MailOnline semalam.
Utusan AS, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner memuktamadkan rundingan lima jam tanpa sebarang kemajuan di Moscow, kelmarin.
Mereka dijadualkan berlepas ke Brussels semalam untuk bertemu Zelensky, namun sebaliknya, pulang ke Washington, DC.
“Mesyuarat di Brussels dibatalkan,” kata wartawan Kyiv Post di platform X dengan memetik sumber.
“Zelensky kembali ke Ukraine,” tambahnya.
Tiada penjelasan diberikan oleh kedua-dua pihak tetapi perubahan rancangan yang mendadak itu mungkin mencerminkan kekurangan kemajuan dalam menamatkan perang.
Sementara itu, Presiden Russia, Vladimir Putin mengeluarkan amaran kepada Eropah kelmarin, menyatakan bahawa Moscow bersedia untuk berperang dengan benua itu.
Beliau berkata, sebarang serangan akan menjadi begitu ganas sehingga ‘tiada sesiapa yang tinggal untuk berunding secara damai’ sebaik sahaja ia dimuktamadkan. – AGENSI














