fbpx
Bantuan tersebut menumpukan kerja-kerja pembersihan rumah, halaman dan peralatan asas, mengalihkan perabot dan barangan rosak.

Misi bantuan pasca banjir USIM bantu warga kampus, komuniti Labu Lanjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sermai 130 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan staf Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggerakkan Misi Bantuan Pasca Banjir bagi membantu keluarga staf dan komuniti yang terkesan di kawasan Labu Lanjut dan Sepang.

Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM, Nur Ekmal Buhary berkata, pasukan sukarelawan itu menumpukan bantuan kerja-kerja pembersihan rumah termasuk membantu menilai kerosakan, menyusun semula ruang kediaman untuk keselamatan penghuni serta menyampaikan sokongan moral dan psikososial kepada mangsa banjir yang terlibat.

“Menerusi koordinasi Bilik Gerakan Banjir USIM yang melibatkan Badan Kebajikan Kakitangan (BKKUSIM), persatuan kakitangan, dan beberapa Pusat Tanggungjawab (PTj), pasukan sokongan telah digerakkan seawal minggu lalu bagi membantu warga USIM yang terjejas.

“Pada fasa pertama bencana ini, sebanyak 11 keluarga USIM telah dikenal pasti terkesan akibat banjir. Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) telah menawarkan penempatan sementara di Kolej Kediaman PRUPEL, dan setakat ini empat keluarga telah menerima tawaran tersebut bermula 28 November lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Nur Ekmal yang juga Pengerusi BKKUSIM berkata, penempatan itu diselaraskan bagi memastikan keluarga yang mengalami kerosakan kediaman dapat berlindung di tempat yang selamat sementara proses pemulihan dijalankan.

“Saya bagi pihak pengurusan universiti mengucapkan terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada PTj yang bertungkus lumus yang turut serta menjayakan misi bantuan ini antaranya Pusat Hal Ehwal pelajar, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Wakaf dan Zakat.

“Selain itu turut terlibat dari Pusat Sukan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas, Kesatuan Kakitangan Sokongan, Bahagian Keselamatan, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Persatuan Kakitangan Akademik dan Majlis Perwakilan Pelajar,” katanya.

Katanya, kerjasama itu membuktikan keutuhan ekosistem USIM dalam menggerakkan tindakan pantas ketika berlakunya bencana.

“Saya amat menghargai semangat kesukarelawanan para mahasiswa dan staf yang turun membantu tanpa mengira masa.

“Harapan saya agar usaha kecil ini dapat meringankan beban keluarga terjejas dan memberi kekuatan untuk mereka bangkit semula. USIM akan meneruskan pemantauan dari masa ke masa dan bersedia menggerakkan fasa bantuan susulan sekiranya diperlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI