PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu teruja melihat kejayaan anak-anak muda bumiputera yang mengusahakan Projek Perintis Jelapang Padi Darul Ehsan, Sekinchan sehingga mampu mencapai hasil luar biasa mencecah 8 hingga 10 tan.
Mohamad yang turun meninjau tapak projek bersama PKPS awal pagi tadi berkata, semangat dan disiplin tinggi golongan muda itu membuktikan sektor padi mampu maju jika digerakkan dengan teknologi moden dan pengurusan kemas.
Apa yang lebih menarik, Mohamad turut mencuba menaiki mesin pengumpul jerami komponen penting industri padi yang kini menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pesawah apabila jerami berkenaan dijual kepada pengusaha ruminan seluruh negara.
“Inilah contoh pertanian moden yang beri manfaat berganda. Hasil naik, pendapatan bertambah dan industri hiliran pun hidup,” katanya.
Beliau mahu lebih ramai anak muda tampil ke hadapan bagi memacu sektor padi ke tahap lebih berdaya saing.
“Kita bergantung kepada tekad dan kesungguhan petani untuk masa depan makanan negara,” tegasnya lagi. – KOSMO! ONLINE














