MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menerima berita gembira menjelang aksi menentang West Ham United awal pagi esok apabila pemain tonggaknya disahkan pulih untuk beraksi.
Selepas kecewa tewas 0-1 menentang Everton, United menerima suntikan semangat selepas mencatat kemenangan apabila bangkit menewaskan Crystal Palace 2-1 di Selhurst Park pada Ahad lalu.
Kemenangan tempoh hari menyaksikan Amorim kehilangan khidmat Matheus Cunha yang mengalami sedikit masalah kecederaan, namun bintang antarabangsa Brazil itu dilaporkan sudah mula menjalani sesi latihan.
Perkara itu disahkan sendiri Cunha menerusi akaun media sosial Instagram bersama sekeping gambar yang menunjukkan dia kembali berlatih bersama pasukan selepas tersisih dalam dua perlawanan.
Perkembangan itu menyaksikan kemungkinan berlaku rombakan apabila Amorim menggunakan khidmat Joshua Zirkzee dalam dua perlawanan sebelum ini sebagai penyerang utama.
Biarpun Zirkzee berjaya meledak satu gol ketika mereka menewaskan Palace, namun Amorim dipercayai lebih memilih untuk menurunkan Cunha sekiranya pemain itu benar-benar cergas untuk berdepan West Ham.
Selain itu, Amorim juga dijangka kembali meletakkan Lisandro Martinez dalam kesebelasan utama selepas pemain itu membuat penampilan pertama Ahad lalu selepas lebih 10 bulan tersisih ekoran kecederaan. – AGENSI













