KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun yang didakwa kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram kerugian RM39,000 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer.
Ibu tunggal 10 anak yang kematian suami kira-kira 10 tahun tersebut membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada pukul 10.23 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita warga emas yang tinggal bersendirian tersebut dihubungi suspek mengaku kononnya wakil sebuah syarikat insurans pada 21 Oktober lalu.
“Mangsa yang ketika itu berada di rumahnya di Simpang Tok Ku di sini gelabah apabila didakwa suspek kononnya telah membuat tuntutan berjumlah RM68,000 bagi rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
“Panggilan seterusnya disambung konon nya ke IPD Petaling Jaya. Wanita warga emas berkenaan bertambah panik apabila didakwa pula terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, suspek kemudiannya mengertak ibu tunggal berkenaan membuat pembayaran sekiranya tidak mahu waran tangkap terhadapnya dikeluarkan.
“Mangsa membuat pembayaran keseluruhan RM39,000 menerusi sembilan transaksi ke dalam akaun bank diberi suspek. Transaksi pindahan wang tersebut berlaku antara pukul 11.08 pagi, 24 November hingga pukul 10.25 pagi, 27 November lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














