fbpx
Shereen Samson Vallabouy sah tidak menyertai Sukan SEA Thailand 2025.

Kecederaan musnah impian Shereen ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Skuad olahraga menerima tamparan hebat menjelang Sukan SEA Thailand 2025 apabila ratu pecut 400 meter (m) negara, Shereen Samson Vallabouy membuat untuk menarik diri menyertai temasya tersebut.

Atlet berusia 27 tahun itu mendedahkan bahawa keputusan berat itu terpaksa diambil akibat kecederaan hamstring tahap dua yang dialaminya itu belum pulih sepenuhnya.

Menurut Shereen, proses pemulihannya belum mencapai tahap memuaskan dan risiko untuk kecederaan itu berulang adalah sangat tinggi jika beliau terus memaksa diri untuk turun bersaing.

“Sebenarnya, saya belum pulih sepenuhnya. Risiko menyebabkan kecederaan berulang sangat tinggi.

“Jadi saya terpaksa menarik diri daripada kesemua acara. Keputusan ini sangat susah untuk dibuat dan memang saya ambil banyak masa untuk berfikir.

“Tetapi saya terpaksa buat keputusan tersebut sebab kaki saya belum sembuh sepenuhnya. Memang agak sedih, tetapi saya terpaksa juga buat keputusan ini,” jelas pemenang pingat Sukan SEA Kemboja 2023 tersebut.

Shereen menegaskan bahawa keputusan untuk tidak mempertahankan pingatnya di Sukan SEA diambil demi menyelamatkan kariernya bagi menghadapi kejohanan lebih besar pada tahun 2026.

“Tahun depan (2026) terdapat banyak kejohanan utama. Jika kecederaan ini berulang, tempoh rehabilitasi akan menjadi lebih panjang dan agak sukar untuk kembali bangkit dengan lebih kuat,” katanya.

Antara fokus utama beliau bagi kalendar 2026 adalah Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia (Asian Indoor) pada Februari, diikuti dengan Sukan Asia (Asian Games) dan Sukan Komanwel.

Ketiadaan Shereen pastinya dirasai kem olahraga negara yang menyandarkan harapan pingat emas kepadanya di bumi Thailand terutama dalam acara 400m selain membantu pasukan dalam acara 4x100m wamita.

Selain dua acara tersebut, Shereen turut mengambil bahagian dalam acara 4x400m campuran dan 4x400m. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN