PETALING JAYA – Taktik licik sindiket penyeludupan dadah cuba membawa masuk ketamin dan kokain menerusi bungkusan teh Cina serta patung mainan berjaya dibongkarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) pada 19 November lalu.
Hasil pembongkaran itu, JKDM LTAKL berjaya merampas kedua-dua jenis dadah berkenaan seberat lebih 14.7 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai lebih RM2.53 juta.
Pengarah JDKM LTAKL, Zulkifli Muhammad berkata, rampasan tersebut melibatkan 2.701.5 kg ketamin bernilai lebih RM135,000 dan kokain seberat 12 kg bernilai lebih RM2.4 juta.
Beliau berkata, sebelum rampasan itu dibuat, pihaknya terlebih dahulu menahan seorang warga China dan seorang warga Thailand di Balai Ketibaan Terminal 1 LTAKL.
Menurutnya, kedua-dua individu tersebut cuba memasuki Malaysia namun telah disekat oleh anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) LTAKL selepas imbasan pada bagasi yang dibawanya mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi milik warga China telah menjumpai beberapa bungkusan kecil berwarna kuning yang di dalamnya mengandungi serbuk disyaki ketamin yang diletakkan di dalam tin dan kotak berwarna merah berlabel Refined Chinese Tea.
“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi milik warga Thailand pula telah menjumpai objek berbentuk kapsul yang di dalamnya mengandungi serbuk disyaki kokain yang diletakkan di dalam patung soft toy,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kedua-dua individu tersebut bersama barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 . – KOSMO! ONLINE














