KUALA LUMPUR – Pengasas bersama Akademi Lawan Pedang Valor, Yu Peng Kean teruja dengan kecemerlangan ditunjukkan anak-anak buahnya terutama tiga pemainnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan Liga Kelab Lawan Pedang Antarabangsa 2025.
Menariknya, Leanne Tan Yu Nuo membuktikan potensi besar dimilikinya untuk menjadi aset masa depan Malaysia pada masa depan apabila menjadi juara keseluruhan bagi kategori sabre wanita bawah 12 tahun (B-12) dan B-14.
Dua lagi produk Valor yang menyinar ialah Loo Hong Shin yang muncul juara keseluruhan sabre wanita B-8 dan Chau Lok Sin (sabre wanita B-10).
Turut mencipta kejayaan pada edisi pertama liga lawan pedang peringkat umur bawah itu ialah Alex Wang yang meraih tempat kedua keseluruhan bagi kategori sabre lelaki B-12.

“Liga ini merangkumi empat kejohanan dengan pemain-pemain perlu mengumpul mata dalam semua acara untuk menentukan kedudukan akhir. Ini kali pertama kategori peringkat umur seperti ini diadakan.
“Persaingan cukup hebat kerana lawan-lawan terdiri dari Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong, Filipina, Thailand, Taiwan, Singapura dan Malaysia. Edisi pertama diadakan di Taiwan, diikuti Filipina, Jepun dan terakhir di Hong Kong.
“Kita hantar semua pemain sabre sebab saya bekas pemain sabre. Jadi kami amat berbangga tiga pemain lawan pedang kami berjaya muncul juara keseluruhan,” kata Peng Kean yang pernah mewakili Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik London 2012.

Pada siri terakhir berlangsung di Hong Kong baru-baru ini, Valor yang membawa seorang lagi jurulatih yang rakan pengasas Valor, Husnul Ariq Bakri selain Peng Kean sendiri, secara keseluruhan membawa pulang tiga pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.
Tiga emas ketika itu dimenangi oleh Leanne (B-14) dan Lok Sin yang menjuarai B-10 serta B-11.
Leanne sekali lagi mencipta kejayaan tersendiri dengan meraih perak B-12 diikuti Loo Hang Lok (B-10 lelaki), Triston Tan Yu Tye (B-9 lelaki), Loo Hong Shin (B-10 wanita) dan George Limsa Leo (B-8 lelaki).
Tiga pingat gangsa diraih Valor di Hong Kong pula menerusi Triston Tan (B-10 lelaki), Chau Zhe Yu (B-8 lelaki) dan Hong Shin (B-8 wanita). – KOSMO! ONLINE














