fbpx

Lawan pedang sumbang emas pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU Amran Sharif (kiri) meraih pingat emas foil individu lelaki selepas menewaskan Akson Hydeer pada aksi final di Sunee Tower hari ini.

UBON RATCHATHANI – Skuad lawan pedang negara memulakan kempen temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dengan langkah kanan apabila meraih satu pingat emas menerusi acara foil individu lelaki.

Kejayaan itu hadir menerusi Tengku Amran Sharif Tengku Muadzam Sadruddin selepas menewaskan rakan senegara, Hydheer Akson Natakusuma 15-13 pada aksi final di Sunee Tower hari ini.

Atlet berusia 18 tahun dari Kolej Methodist Kuala Lumpur itu kini semakin bersemangat untuk memburu kejayaan seterusnya dengan menyasarkan pingat emas dalam acara foil berpasukan lelaki pada Ahad ini.

“Saya harap pingat emas ini dapat menyuntik semangat rakan-rakan lain yang akan turun menghadapi acara mereka esok.

“Saya juga percaya dapat tingkatkan prestasi sendiri walaupun saya merasakan telah melakukan yang terbaik hari ini.

“Kami juga ada peluang untuk memenangi pingat emas dalam (foil) berpasukan lelaki selepas ini kerana kami mempunyai pasukan yang kuat,” katanya yang baru kali pertama membuat penampilan di pentas AUG.

Pingat gangsa acara itu dimenangi atlet Thailand, Ratchanavi Deejing.

Hasrat skuad lawan pedang untuk meraih dua emas pada hari pertama tidak kesampaian selepas Yap Jing Xuan tewas 11-15 kepada atlet Thailand, Warisa Winya dari Thailand pada aksi final epee individu wanita, manakala gangsa dimenangi Pacharaporn Vasanasomsithi (Thailand).

Seorang lagi wakil negara yang turun beraksi hari ini iaitu Tyrsten Fong terkandas di pusingan pertama saber individu lelaki kepada Nicholas Loo Wei-Hao dengan kekalahan 10-15.

Esok, cabaran negara akan digalas tiga atlet epee individu lelaki, Isaac Kai Xuan Seet, Lim Jit Ian dan Muhammad Aiman Najmi Mohd. Zarif Rizal selain Philippa Jean Ong Ziyi (foil wanita) serta Natania Tai Li Suet (saber wanita). – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI