KUALA LUMPUR – Hajat seorang lelaki pulang kampung untuk melawat neneknya tidak kesampaian apabila dilaporkan hilang akibat tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia pada 27 November lalu.
Menurut ibu mangsa, Ernalis Alam Shah, 52, anak sulungnya Asrul Nizam Apridwson, 30, pulang ke kampung bersama bapa saudaranya.
“Anak saya pulang ke kampung untuk bertemu neneknya kerana dia beritahu rindu. Belum sempat sampai, kereta yang mereka naiki terlibat dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh.
“Lokasi kejadian dengan rumah ibu saya kira-kira dalam satu jam perjalanan lagi namun dia tidak sempat bertemu neneknya,” katanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ernalis berkata, ketika kejadian, kenderaan tersebut dinaiki seramai lapan orang termasuk anak dan adiknya sebelum kereta mereka hilang dalam runtuhan dan tidak ditemui sehingga sekarang.
“Adik saya yang tinggal di Indonesia memang selalu datang ke Malaysia dan sebab itu anak saya berhasrat untuk pulang jumpa neneknya kerana sudah lama tidak bertemu,” ujarnya.
Katanya, anaknya yang belum berkahwin sebelum ini kerja di sebuah kilang namun berhenti dan menolongnya berniaga-niaga secara kecil-kecilan.
Menurut Ernalis, dia berharap agar anaknya dapat ditemui sama ada masih hidup atau sebaliknya.
“Saya juga sudah sampai ke sini (Sumatera Barat) sejak semalam dan menunggu perkembangan pencarian anak saya,” katanya.
Media semalam melaporkan Kementerian Luar Negeri mengesahkan seorang rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, hilang dipercayai akibat tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia pada 27 November lalu. – KOSMO! ONLINE














