KEHIDUPAN sebagai seorang mahasiswa bukanlah satu perjalanan yang mudah, apatah lagi apabila melibatkan pembahagian masa yang bijak antara akademik dan minat seperti sukan serta muzik.
Bagi Khairull Amin Mohamad Yunus, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk dan Perindustrian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), pengurusan masa yang cekap dan disiplin tinggi merupakan kunci kejayaannya.
“Walaupun sibuk dengan akademik, saya selalu pastikan dapat menyelesaikan tugasan lebih awal daripada yang dijangka.
“Saya sangat menghargai waktu pagi hingga petang untuk kelas dan menyiapkan semua tugasan diberikan.
“Masa petang pula khas untuk latihan sukan dan malam saya gunakan untuk berlatih muzik,” katanya membuka bicara bersama K-Kampus.
Meskipun jadual padat, dia yang mesra disapa Khairull tetap dapat membahagikan masa dengan baik antara tiga aspek penting dalam hidupnya iaitu akademik, sukan dan muzik.
Pelajar semester akhir itu juga merupakan seorang atlet olahraga yang pernah mengharumkan nama UniSZA dengan memenangi dua pingat gangsa dalam acara trek dan padang.
Sebagai atlet, anak kelahiran Kuala Terengganu itu turut berani mencabar diri dalam pelbagai acara larian, termasuk di peringkat antarabangsa.
Akuinya, bergelar seorang mahasiswa, dia tidak hanya fokus kepada sukan dan muzik tetapi juga kepada kejayaan akademik.
Ini jelas dibuktikan melalui pencapaian terbaiknya ketika memenangi Best Poster di acara Industrial Design, Technology and Manufacturing International Symposium 2024 dalam kategoriTransport Design.
Selain itu, projek tahun akhirnya yang bertajuk Autonomous Shuttle Bus turut dipamerkan di Mayang Mall dan seterusnya terpilih untuk dipamerkan di Drawbridge, Terengganu.
Berkongsi kejayaan lain dalam arena sukan, dia pernah menduduki tempat kedua dalam International Trail Run di Johor sebelum ini dan hanya kalah kepada pelari dari Singapura.
Pengalaman itu mengajarnya untuk sentiasa berusaha tanpa mengira cabaran fizikal dan mental yang dihadapi, termasuk insiden slip disk yang memaksanya berehat selama tiga bulan.
Dalam kanvas muzik, Khairull juga seorang pemuzik berbakat dan disegani.

Dia merupakan gitaris utama dalam kumpulan muzik De Mahameru yang mewakili UniSZA dalam pelbagai persembahan baik dalam mahupun luar kampus.
“Saya tidak hanya sekadar memainkan gitar tetapi juga bertanggungjawab dalam mencipta dan mengatur susunan muzik untuk persembahan kumpulan De Mahameru.
“Baru-baru ini kami terpilih untuk tampil ke program iFuture dan membawakan lagu-lagu tradisional yang digabungkan dengan elemen muzik moden”, katanya.
Penglibatan anak ketiga daripada lima beradik ini dalam dunia muzik tidak hanya terbatas di kampus, malah dia turut mengadakan persembahan pentas dalam pelbagai acara termasuk di pesta konvokesyen universiti awam di Pantai Timur, menampilkan lebih 12 lagu pada setiap sesi persembahan.
Menurut Khairull, apa yang membuat UniSZA begitu istimewa baginya adalah peluang yang diberikan universiti untuk mengembangkan bakatnya dalam tiga bidang secara serentak iaitu akademik, sukan dan seni.
“UniSZA telah banyak membantu saya mengembangkan diri dan bakat sebagai seorang mahasiswa serta atlet.
“Di sini, saya tidak hanya belajar dalam kelas tetapi juga diberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti luar yang penting bagi perkembangan peribadi saya,” ujarnya.
Jelasnya, dia berhasrat untuk memberi impak positif kepada komuniti kampus dengan terus mengembangkan bakatnya dan memberi motivasi kepada rakan-rakan lain.
“Saya ingin memberi tunjuk ajar kepada generasi akan datang, agar mereka juga dapat mengimbangi antara akademik, sukan dan seni serta memanfaatkan segala peluang yang ada,” tambahnya.
Kejayaannya membuktikan bahawa dengan disiplin, pengurusan masa yang bijak dan sokongan pihak kampus, setiap mahasiswa dapat menggapai kejayaan dalam pelbagai bidang diceburi.








