PETALING JAYA – Tidak mudah bagi sesebuah perniagaan untuk kekal dan terus berkembang sehingga mencapai usia 30 tahun apatah lagi berdepan saingan sengit dunia perniagaan, namun seorang usahawan bumiputera di Segamat, Johor berjaya melakukan perkara itu setelah memenangi kepercayaan pelanggannya yang merentasi generasi dan kaum.
Datuk Ameran Ismail, 64, memulakan perniagaan menjual kereta terpakai sejak 1991 setelah membuat keputusan meninggalkan kerjaya dalam bidang kepolisan setelah berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu selama kira-kira 10 tahun di Sabah, dan Johor.
Menurut beliau, usaha tidak pernah mengkhianati hasil dan keputusan untuk menceburi bidang perniagaan kereta terpakai sebagai anak Melayu pertama yang melakukannya di Segamat ketika itu adalah tepat.
“Alhamdulillah, perniagaan yang dimulakan pada tahun 1991 dengan berbekalkan modal permulaan sebanyak RM18,000 selepas melakukan refinance terhadap kereta sendiri masih utuh. Kini ia beroperasi dengan menggaji seramai 24 kakitangan, termasuk ahli keluarga.
“Awal dahulu, banyak cabaran termasuk pandangan sinis segelintir pihak yang mempersoalkan kemampuan anak peneroka untuk berjaya dalam perniagaan ini kerana ketika itu tiada syarikat kereta terpakai milik Melayu di Segamat.
“Saya pernah diboikot, dituduh menjual kereta tidak berkualiti, menjual kereta pada harga lebih mahal berbanding syarikat lain namun dengan masa dan kejujuran dalam perniagaan, saya berjaya memenangi hati dan kepercayaan pelanggan termasuk dalam kalangan bukan Melayu,” katanya yang masih aktif menguruskan perniagaan tersebut selaku pengarah syarikat.
Jelasnya, pelanggan bukan sekadar individu yang membeli sebuah kereta buat sekali seumur hidup, sebaliknya mereka juga sebagai ejen pengiklanan kecil buat syarikat yang akan mempromosikan produk dibeli kepada rakan-rakan dan keluarga mereka.

“Setelah terpilih sebagai penerima ‘Approved Permit’ atau AP untuk mengimport kereta terpakai dari luar negara kira-kira tujuh tahun lalu, saya dan anak-anak turun padang sendiri ke negara buatan asal kenderaan tersebut seperti Jepun bagi mendapatkan hanya kereta ‘recond’ yang berkualiti dan gred tinggi.
“Kereta ‘recond’ ini banyak gred, dan kami pastikan gred terbaik buat pelanggan. Daripada situ kepercayaan peminat kereta ‘recond’ kepada syarikat ini bertambah sehingga kami menerima pelanggan dari seluruh Malaysia walaupun kekal beroperasi di satu lokasi sahaja iaitu di Segamat.
“Bagi saya, adalah penting untuk kukuhkan asas di satu tempat dan tidak terburu-buru membuka cawangan. Lagipun dunia digital sekarang tanpa sempadan jadi tiada isu. Sekitar 20 peratus pelanggan kami berasal dari negeri ini, selebihnya dari luar negeri,” jelasnya yang turut bercadang membuka sebuah bengkel kenderaan berprestasi tinggi pada masa depan.
Antara kenderaan yang boleh dibeli pengguna di syarikat tersebut termasuklah model kereta popular seperti Honda Civic FK8 dan FL5; Lexus; Mercedes; Toyota Alphard; Vellfire serta pelbagai lagi yang mampu milik.
Menurut Ameran lagi, walaupun sudah memasuki usia emas dan mampu menikmati kehidupan dengan selesa tanpa perlu terus bekerja keras lagi, dia sebaliknya lebih selesa memilih untuk terus bekerja dan masuk ke pejabat hampir setiap hari seawal pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Katanya, langkah itu dibuat kerana mahu terus memberi bimbingan dan panduan sebagai tiang seri serta tulang belakang kepada syarikat yang turut diuruskan secara bersama oleh beliau bersama anaknya dan pasangan mereka.
“Saya percaya terhadap konsep kekeluargaan, disebabkan itu selepas anak-anak saya menamatkan pengajian tinggi mereka, saya minta mereka bekerja dengan saya dan membantu kukuhkan perniagaan ini. Saya juga tawarkan pekerjaan kepada menantu saya dan Alhamdulillah syarikat ini beroperasi dengan baik.
“Pada masa depan, saya mahu melihat lebih ramai lagi generasi muda bumiputera yang bukan sahaja menceburi bidang profesional, tetapi juga pelbagai sektor perniagaan bagi meningkatkan ekonomi keluarga dan masyarakat setempat,” ujarnya lanjut.
Ameran turut memberitahu, masyarakat bumiputera serta yang berlatar belakang kurang bernasib baik dalam aspek ekonomi harus beranikan diri untuk keluar daripada kepompong pemikiran bahawa kehidupan mereka akan terus kekal sedemikian, sebaliknya ceburilah bidang keusahawan untuk mencapai cita-cita yang diidamkan.
Antara anugerah yang diterimanya termasuklah sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi pertubuhan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) serta Platinum Dealer daripada Ambank selama 10 tahun berturut-turut sejak 2015.














