PELUANG menghias busana istimewa persandingan diraja antara Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz menjadi momen bermakna buat artisan telepuk, Azwarin Ahmed.
Kongsi Azwarin, proses menghias busana diraja dengan hiasan telepuk memakan masa sekitar dua bulan untuk disempurnakan sambil dibantu oleh seorang kakitangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.
Hampir sedekad pengalaman dalam kesenian telepuk iaitu menghias kain dengan menekap perada emas untuk menghasilkan motif berkilauan, Azwarin memberitahu segala kelengkapan untuk menyempurnakan persalinan tersebut telah disediakan oleh pihak istana.
Tugasnya hanyalah melaksanakan amanah bagi memastikan busana berwarna ivory itu dihiasi dengan corak telepuk dan dapat disediakan tepat pada waktu ditetapkan.
“Agak terkejut apabila pihak istana memaklumkan kepada saya untuk menyiapkan persalinan diraja itu dan pada masa sama saya bersyukur kerana pihak istana mengekalkan tradisi kesenian tekstil Melayu ini.
“Bagi persalinan Raja Muda hiasan telepuk dibuat pada tanjak, baju, samping, bengkong dan seluar, manakala Datin Paduka Seri pula pada baju dan kain.
“Proses telepuk dilakukan di Terengganu sementara peralatan seperti blok kayu (untuk cop), kertas emas sudah pun disediakan oleh istana,” katanya kepada CitaRasa ketika ditemui dalam majlis Perasmian Program Khazanah ACE Heritage Textile Fellows baru-baru ini.

Memetik perkongsian Pejabat Diraja Selangor di Facebook, motif tampuk manggis iaitu corak buah manggis melambangkan kesucian, keindahan dalaman dan kekuatan yang tenang di samping menjadi simbol diraja serta budaya telah dipilih.
Motif tersebut merupakan kesayangan Almarhumah Tengku Ampuan Jemaah Raja Ahmad, suri kepada Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj iaitu moyang kepada Tengku Amir Shah.
Pemilihan motif itu sekali gus menjadi tanda penghormatan pasangan diraja kepada warisan Almarhumah yang iltizam memperjuangkan kraf tradisional Melayu seperti telepuk menerusi kain telepuk sentuhan Azwarin.
Persandingan pasangan diraja yang berlangsung dalam suasana penuh adat di balairung seri, Istana Alam Shah Oktober lalu secara tidak langsung telah menarik perhatian khalayak tentang keindahan seni telepuk.
Kata Azwarin, khalayak mula tertarik untuk mengetahui tentang kesenian telepuk termasuk makna di sebalik corak ukiran blok kayu yang digunakan bagi cop di atas kain.
Bahkan, Azwarin turut berterima kasih apabila Selangor agresif dalam menjalankan kajian dan dokumentasi bagi mewartakan seni fabrik telepuk sebagai warisan seni tekstil rasmi negeri.
“Jika kita lihat di negeri lain mempunyai kesenian masing-masing seperti labu sayong Perak, kain tenun Pahang atau batik Kelantan dan Terengganu. Jadi Selangor juga ingin menjadikan telepuk sebagai identiti kesenian negeri.
“Usaha ini bukan baru dilakukan kerana apa yang saya faham banyak blok telepuk yang disimpan oleh Jabatan Muzium Malaysia dikesan dari negeri Selangor berdasarkan ukiran nama kerabat diraja pada blok tersebut.
“Sebahagian blok telepuk yang disumbangkan ke Muzium Victoria dan Albert di London (United Kingdom) juga banyak datang dari Selangor,” ujarnya.
Demi memartabatkan kesenian telepuk juga, Azwarin bersama sembilan lagi peserta pelbagai kemahiran telah berangkat ke Turkiye baru-baru ini menerusi program Khazanah ACE Heritage Textile Fellows di bawah kelolaan Yayasan Hasanah dan Yayasan Khazanah.
Sepanjang tempoh itu, Azwarin mewakili seni telepuk akan saling berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan barisan pakar di Turkiye selama sebulan.
“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang menyertai program ini dan mengharapkan dapat menggunakan pengalaman di Turkiye selama sebulan demi memastikan kelestarian warisan kesenian Melayu,” katanya.














