KUALA LUMPUR – Jenama automotif dari China, iCaur Malaysia melancarkan model keduanya untuk pasaran tempatan, iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik, iCaur V23 pada harga bermula RM119,800.
Model dalam segmen C ini diangkat sebagai SUV kegunaan lasak elektrik sepenuhnya dan bakal mempelopori kategori kenderaan elektrik bateri (BEV) pengembaraan, dengan menggabungkan prestasi, keselamatan serta keupayaan serba boleh.
Naib Presiden Eksekutif Chery International, Chen Chun Qin berkata, iCaur sebagai salah satu jenama di bawah Chery Automotive Malaysia dibangunkan dengan strategi jangka panjang,
“Dengan tagline ‘Co-Create, Co-Define’, ia menandakan transformasi besar daripada pengeluaran automotif tradisional kepada pembangunan ekosistem mobiliti pintar yang dipacu oleh keperluan pengguna,” katanya pada Majlis Pelancaran iCaur V23 di sini, semalam.
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo pula berkata, sejak dilancarkan, iCaur telah memperkenalkan pendekatan dinamik yang serba baharu kepada pengangkutan kenderaan elektrik (EV).
“Menggabungkan keupayaan lasak dan ciri serba boleh untuk kegunaan harian, ICaur V23 bakal memenuhi keperluan generasi pemandu, pengembara dan pelopor trend yang baharu,” katanya.
iCaur V23 dijual dengan harga RM119, 800 untuk varian pacuan roda belakang (2WD) manakala varian pacuan pintar dual motor (iWD) berharga RM132,800 atas jalan raya tanpa insurans.
Varian 2WD dikuasakan oleh bateri Lithium Iron Phospate (LFP) berkapasiti 59.93kWh dengan jarak gerak sehingga 360 kilometer (km) mengikut NEDC serta menghasilkan kuasa 136PS dan tork 180Nm.
Manakala varian IWD dengan bateri Nikel Mangan Kobalt (NMC) 81.76kWh memiliki jarak gerak sehingga 430km (NEDC) dan kuasa 211PS serta tork 292Nm.
Dari segi prestasi, ia dilihat sederhana, tetapi memadai untuk kegunaan harian dengan kemampuan memecut daripada kedudukan pegun kepada kelajuan 100km/j dalam masa 11 saat bagi 2WD, dan 7.5 saat untuk iWD dengan kelajuan maksimum 140km/j.
Keupayaan pengecasan 2WD menyokong pengecasan pantas (DC) 85kW manakala iWD boleh mencapai sehingga 104kW, manakala pengecasan standard (AC) pula berkapasiti 6.6kW.
V23 diberikan lima pilihan warna menarik iaitu Off Road Orange, Khaki Whitez, Army Green, Slate Silver dan Carbon Black.
Untuk 1,000 pendaftaran pertama, iCaur Malaysia menawarkan pakej pembeli awal (early bird) yang akan menerima pengecas rumah Wallbox 7kW percuma bernilai RM3,400.
Selain itu, pakej tersebut merangkumi unit kluster instrumen sokongan 6.86 inci yang bernilai RM1,000, waranti lanjutan untuk bateri, motor elektrik dan unit kawalan kuasa yang meliputi tempoh sehingga sepuluh tahun atau 200,000km. – KOSMO! ONLINE















