GUA MUSANG – Mangsa banjir yang tinggal di Kampung Limau Kasturi di sini pulang ke rumah untuk membersihkan kesan lumpur selepas paras banjir ekoran limpahan air Sungai Galas surut semalam.
Seorang penduduk, Che Jah Hussin, 74, berkata, anak dan cucunya telah membersihkan kawasan rumahnya sejak pukul 12 tengah hari semalam.
Katanya, dia pulang ke rumah pagi tadi selepas dua malam tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi. Saya kini dalam dilema untuk mengemas pakaian kerana bimbang banjir berulang. Anak lelaki saya telah membantu membersihkan lantai serta ruangan bahagian dapur. Hujan masih berlalu dan penduduk kampung mengatakan paras air Sungai Kerak dan Sungai Kerak dilihat kembali meningkat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Harman Seman, 53, berkata, penduduk ketika ini bersedia dengan sebarang kemungkinan jika mereka perlu berpindah semula ke PPS.
Katanya, mangsa banjir telah pulang untuk melihat keadaan rumah selepas jambatan Sungai Kerak yang ditenggelami surut.
“Penduduk di sini bersedia untuk berpindah kembali ke PPS sekiranya paras air kembali meningkat kerana kebiasaannya kami akan menghadapi tiga kali gelombang banjir. Saya berharap penduduk mendengar arahan pihak berkuasa. Sekiranya perlu berpindah semula mereka perlu mengikut arahan dan kembali ke PPS,” katanya.
Sementara itu, mengikut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat satu keluarga melibatkan tiga mangsa masih berada di PPS SK Limau Kasturi dan dua buah PPS di Kampung Batu 5 dan Kampung Serian sudah ditutup.
Menerusi laman web rasmi Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, paras air Sungai Galas di Kampung Limau Kasturi kini melebihi paras amaran dengan catatan 58.23 meter (m) melebihi paras normal 53 m. – KOSMO! ONLINE















