PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang memandu ke Thailand boleh membuat tuntutan daripada syarikat insurans sekiranya kenderaan terjejas banjir di negara itu dengan tiga syarat penting dimasukkan dalam polisi mereka.
Menerusi perkongsian wakil insurans VFMajuSinar di TikTok, dalam masa sama, pelan insurans tersebut perlu dibeli di Malaysia kerana pelan insurans di negara jiran tidak akan melindungi kenderaan bagi tuntutan banjir.
“Pelan yang boleh ‘cover’ (lindung) kereta kita jika kemalangan dan banjir di Thailand adalah pelan insurans Malaysia. Macam mana nak ‘cover?’, kena ada tiga benda ini dalam polisi insurans.
“Nombor satu ialah pelan komprehensif, ‘add on’ (tambahan) bencana alam atau ‘special perils’. Seterusnya kena buat ‘extension to Thailand’. Tak mahu susah-susah, buat setahun terus dan sekalikan dalam polisi,” katanya menerusi video tersebut.
Jelas wakil insurans itu, pelan komprehensif tersebut dilanggan ketika pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan.
“Untuk (tambahan perlindungan) bencana alam ini, boleh beli setahun (tempoh) semasa buat (perbaharui) cukai jalan, tak boleh masa kena banjir di Hatyai, baru buat. Itu tak boleh.
“Lepas itu (untuk syarat) ‘extension to Thailand’ nak buat setahun terus, boleh atau buat semasa hendak masuk Thailand pun boleh. Tapi setiap kali masuk Thailand, kena buat. Menyusahkan sedikit, tapi murah sikit berbanding buat setahun,” katanya.
Untuk membuat tuntutan insurans, katanya, ia boleh dibuat dengan membawa kenderaan keluar yang terjejas banjir dari Thailand ke Malaysia.
“Tarik kereta ke sempadan Malaysia, hubungi pihak insurans dan bawa kenderaan ke bengkel panel. Jangan buat tuntutan dengan pomen (mekanik) bawah pokok rambutan, tak ada resit, menyusahkan hangpa (kalian).
“‘Special perils’ mahal ke? Biasa 0.2 daripada harga kereta. Contoh Perodua Myvi berharga RM50,000, kena tambah RM100 setahun untuk bencana alam. Kalau tak ada, memang tak boleh tuntut. Benda ini kena ada dalam polisi insurans,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@vfmajusinar Banjir thailand #extension101 #bencanaalam #fyp ♬ original sound – VF Maju Sinar















