PARIS – Tiada apa yang mahu dikesalkan oleh pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank walaupun terpaksa akur tewas 3-5 kepada juara bertahan, Paris Saint-Germain pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Parc des Princes awal pagi tadi.
Berdasarkan kualiti dijelmakan pemain pada perlawanan kali ini, Frank menjelaskan ia sudah pun memenuhi dan mencapai standard yang dimahukan hingga mampu menyukarkan pasukan lawan.
“Sudah pasti saya tetap gembira dengan prestasi pasukan, ia menunjukkan reaksi balas daripada pasukan seperti saya mahukan. Kami bertindak balas untuk kembali bangkit daripada detik sukar.
“Aksi kali ini, kami menunjukkan identiti yang kami mahukan iaitu menjurus kepada karakter, personaliti dan aksi agresif,” kata Frank yang melakukan lima pertukaran kesebelasan utama berbanding ketika tewas 1-4 kepada Arsenal pada Isnin lalu.
Pada perlawanan itu, Vitinha merakam hatrik diikuti masing-masing satu gol Fabian Ruiz dan Willian Pacho, manakala Spurs meraih dua jaringan Randal Kolo Muani serta satu daripada Richarlison.
Kemenangan itu turut melonjakkan PSG ke tangga kedua, berkongsi 12 mata dengan tiga lagi pasukan iaitu Bayern Munich, Inter Milan dan Real Madrid.
“Kami mungkin mampu mendapatkan sesuatu daripada perlawanan ini, sekurang-kurangnya seri. Jadi sedikit kecewa apabila kami terus melepaskan gol kepada pasukan lawan,” tambah Frank. – AGENSI















