fbpx
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed (kanan) bersama pelajar dan pensyarah yang terkandas di Hatyai, Thailand.

[VIDEO] Banjir Hatyai: ‘Tanpa rakyat Thailand, mungkin kami kebuluran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Kalangan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menghargai pertolongan rakyat Thailand sepanjang mereka terkandas di Hatyai sejak Jumaat lalu.

Menurut pelajar, Aaisya Nor Akbar, 22, dia tidak akan sesekali melupakan kebaikan penduduk negara jiran itu yang menyediakan makanan buat mereka.

“Saya tidak akan lupa pertolongan rakyat Thailand, saya rasa tanpa mereka memang kami akan kebuluran kerana terkandas di sana. Terima kasih kepada warga Thailand,” katanya hari ini.
Katanya, penghargaan paling utama diberikan kepada pensyarah yang sentiasa ada bersama serta pihak UUM yang berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia bagi membantu mereka di sana.

“Kami tahu ada banyak halangan yang menyebabkan mereka tidak dapat bantu, namun kami sangat menghargai usaha dan inisiatif dilakukan. Banyak juga NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang cuba nak bantu tetapi akhirnya pihak konsulat yang berjaya bantu kami.

“Selain itu, kata-kata semangat daripada rakan-rakan di sini serta doa ibu bapa menjadi penguat semangat kami. Alhamdulillah kami termasuk rakan-rakan dan pensyarah yang tidak sihat, dapat pulang hari ini,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Abdul Hannan Abdul Halim, 20, berkata, mereka dapat mengisi perut atas ihsan rakyat Thailand.

“Atas belas ihsan orang Thailand, mereka beri air minuman dan masak bubur setiap hari. Kami faham makanan itu juga perlu diagihkan kepada mangsa lain, jadi makanan dicatu.

“Kami kongsi satu mangkuk dua hingga tiga orang dan apabila dapat bekalan makanan kami kongsi satu bekas untuk tiga orang. Tanpa warga Thailand, kami mungkin kebuluran kerana tiada makanan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, rakyat Thailand yang terdiri daripada anggota tentera, bomba dan jurutera elektrik turut membantu mereka dengan membawa bateri kereta untuk mengecas telefon bimbit berikutan tiada bekalan elektrik.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pensyarah yang sentiasa membantu dan memberi sokongan kepada mereka.

“Kepada pihak UUM, terima kasih kerana sedaya upaya membantu kami dan terima kasih juga kepada semua yang mendoakan keselamatan kami,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kesemua 36 pelajar dan dua pensyarah UUM berjaya dipindahkan dari Hotel Wangburapa Grand di Hatyai hari ini setelah terkandas sejak Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI